Soalan ulasan
Adakah terdapat bukti baru untuk manfaat daripada kortikosteroid untuk pemanjangan tempoh berjalan, dan meningkatkan kekuatan otot dan kebolehan berfungsi dalam Duchenne muscular dystrophy (DMD), terutamanya dalam jangka panjang (lebih daripada dua tahun)? Adakah kortikosteroid yang berbeza, atau rejimen yang berbeza sama berkesan, dengan profil kesan sampingan yang serupa?
Latar belakang
DMD ialah penyakit yang tidak dapat diubati yang bermula pada zaman kanak-kanak dan hampir sepenuhnya melibatkan kanak-kanak lelaki. Penyusutan otot dan kehilangan keupayaan berjalan membawa kepada kebergantungan pada kerusi roda dan kematian awal. Kajian rawak terkawal (RCT) telah menunjukkan yang kortikosteroid meningkatkan kekuatan dan fungsi otot sehingga enam bulan dan kekuatan sehingga dua tahun (bukti tentang fungsi pada dua tahun adalah terhad). Data daripada jenis kajian lain menunjukkan bahawa kortikosteroid menghasilkan fungsi yang lebih baik dalam tempoh lima tahun dalam kebanyakan pesakit. Secara keseluruhan, faedah jangka panjang masih tidak jelas, dan perlu ditimbang dengan kesan sampingan jangka panjang. Ia juga tidak jelas sama ada kortikosteroid yang berbeza adalah sangat berbeza dalam kesan sampingan. Versi terdahulu ulasan ini menemui bukti yang tidak mencukupi untuk menentukan sama ada rejimen berkala adalah berkesan seperti rejim harian, atau menghasilkan kurang kesan sampingan.
Ciri-ciri kajian
Kami mendapati 12 kajian rawatan kortikosteroid dalam DMD, melibatkan sejumlah 667 kanak-kanak lelaki yang dirawakkan; dua kajian lain sedang dijalankan. Antara 12 kajian yang telah selesai, rawatan adalah: kortikosteroid berbanding ubat tidak aktif (plasebo) (dalam sembilan ujian); prednisone harian berbanding hujung minggu sahaja (dalam satu ujian); dan deflazacort berbanding prednisone (dalam tiga ujian). Beberapa kajian memasukkan lebih daripada satu perbandingan; ada yang tidak dilaporkan sepenuhnya atau memberikan hasil yang tidak dapat dianalisis.
Keputusan utama dan kualiti bukti
Satu ujian, kajian dua tahun membandingkan kortikosteroid (deflazacort) dengan plasebo, menilai kesan kortikosteroid pada keupayaan untuk terus berjalan, tetapi data tidak sesuai untuk analisis. Kebanyakan kajian tidak melaporkan tentang keupayaan untuk terus berjalan.
Dengan dos biasa 0.75mg/kg/hari, kortikosteroid meningkatkan kekuatan dan fungsi otot bagi tempoh enam bulan berbanding plasebo. Keputusan ini berdasarkan data yang digabungkan (sebanyak 152 peserta) daripada empat ujian, yang memberi bukti bermutu sederhana. Peningkatan dapat dilihat pada ujian bermasa (eg. jalan atau lari bermasa, masa untuk berdiri, memanjat tangga), keupayaan mengangkat berat, gred fungsi kaki, dan ukuran kekuatan otot yang digunakan untuk bernafas. Bukti daripada ujian tunggal menunjukkan prednisone 0.75 mg/kg/hari lebih bagus daripada 0.3 mg/kg/hari untuk kebanyakan ujian kekuatan dan fungsi, dengan sedikit bukti yang menunjukkan manfaat lebih besar dengan dos 1.5 mg/kg/hari. Perubahan dalam penampilan dan pertumbuhan rambut adalah lebih biasa pada 0.75 mg/kg/hari daripada 0.3 mg/kg/hari.
Satu RCT (n=66) juga melaporkan kekuatan, fungsi dan kualiti hidup yang lebih baik pada 12 bulan dengan prednisone harian 0.75 mg/kg/hari. RCT dua tahun, yang mempunyai 28 peserta, menunjukkan bahawa deflazacort menstabilkan kekuatan otot sehingga dua tahun berbanding plasebo. Kajian ini tidak menunjukkan faedah pada ujian bermasa pada dua tahun; bagaimanapun, keputusan ini tidak tepat dan berisiko tinggi berat sebelah, dengan kurang daripada separuh peserta asal menyumbang data.
Satu ujian mendapati bahawa perubahan dalam kekuatan dan fungsi otot adalah serupa dengan rejimen prednisone harian dan hujung minggu sahaja dalam tempoh 12 bulan (bukti kualiti rendah hingga sederhana).
Dua RCT kecil membandingkan prednison harian 0.75 mg/kg/hari dengan deflazacort harian 0.9 mg/kg/hari, tetapi kaedah ujian tidak membenarkan perbandingan kekuatan atau fungsi otot.
Versi terdahulu ulasan ini mendapati kejadian buruk seperti pertambahan berat badan yang berlebihan, tingkah laku yang tidak normal, perubahan penampilan, dan pertumbuhan rambut yang tidak normal adalah lebih biasa dengan kortikosteroid berbanding dengan plasebo. Kami menilai kualiti bukti tentang tingkah laku abnormal dan kenaikan berat badan bagi ulasan ini dan mendapati bukti tersebut adalah sederhana. Kajian terbaru tentang prednisone harian berbanding hujung minggu sahaja menunjukkan kedua-dua kumpulan mengalami kenaikan berat badan. Indeks jisim tubuh (BMI; ukuran berat bagi ketinggian) tidak menunjukkan sebarang perbezaan ketara antara rejimen tersebut (bukti kualiti rendah). Kumpulan hujung minggu sahaja mengalami peningkatan ketinggian yang lebih banyak. Menurut bukti berkualiti rendah daripada dua kajian, deflacazort menyebabkan kenaikan berat badan yang lebih sedikit berbanding prednisone pada satu tahun, dan tiada perbezaan ketara dalam bilangan pesakit dengan perubahan tingkah laku. Data tidak mencukupi untuk menilai risiko patah tulang atau katarak.
Bukti adalah terkini sehingga Februari 2016.
Diterjemahkan oleh Hanis Hamdan (Pelajar Pascasiswazah, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my