Cilostazol untuk penyakit arteri periferal

Latar belakang

Penyumbatan di dalam salur arteri ke kaki - lebih dikenali sebagai penyakit arteri periferal - dialami oleh 20% daripada mereka yang berumur lebih dari 70 tahun dan 4% hingga 12% bagi mereka yang berumur 55 hingga 70 tahun. Kira-kira 40% daripada mereka yang menghidapi penyakit arteri periferal mengadu sakit pada kaki atau punggung yang berlaku semasa bersenam dan reda apabila berehat. Ini dikenali sebagai klaudikasi sekejap-sekejap dan gejala ini merupakan petunjuk terjadinya peyumbatan di dalam arteri di tempat lain juga dalam badan. Pesakit dengan klaudikasi sekejap-sekejap mempunyai peluang tiga hingga enam kali ganda lebih tinggi untuk mati akibat kejadian kardiovaskular berbanding dengan mereka yang sama dengan usia tetapi tiada klaudikasi sekejap-sekejap ini.

Pesakit dengan klaudikasi sekejap-sekejap dirawat dengan perawtan perubatan terbaik yang merangkumi pengubahsuaian faktor risiko, seperti berhenti merokok, dan melakukan senaman yang berstruktur. Pengubahsuaian risiko kardiovaskular selanjutnya merangkumi rawatan bagi tekanan darah tinggi, diabetes dan penurunan kolesterol. Namun begitu, secara praktikalnya, pematuhan kepada rawatan perubatan yang terbaik adalah tidak memuaskan dan kebanyakan daripada mereka terus mengalami gejala klaudikasi sekejap-sekejap. Beberapa terapi ubat, seperti cilostazol, digunakan untuk membantu mengurangkan gejala klaudikasi sekejap-sekejap dan oleh itu kami meneliti bukti untuk melihat sama ada cilostazol meningkatkan jarak berjalan kaki, kualiti hidup dan hasil penting lain berbanding dengan plasebo (pil tidak aktif) atau ubat lain yang digunakan untuk klaudikasi sekejap-sekejap.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Kami menyertakan 16 ujian terkawal secara rawak buta berganda, dengan 3972 orang dewasa (carian hingga 9 November 2020). Peserta yang mengambil cilostazol selama tiga hingga enam bulan boleh berjalan sejauh 26 meter lebih jauh sebelum mengalami sakit betis dan 40 meter lebih jauh dibandingkan dengan peserta yang mengambil plasebo. Walau bagaimanapun, peserta yang mengambil cilostazol mempunyai kemungkinan hampir tiga kali lebih tinggi untuk mengalami sakit kepala yang berkaitan dengan ubat dalam kajian. Pada masa ini tidak cukup maklumat mengenai keberkesanan cilostazol untuk kejadian serius seperti amputasi, revaskularisasi dan kejadian kardiovaskular. Walaupun penting, hanya empat kajian yang melaporkan kualiti hidup,namun begitu mereka menggunakan alat pengukuran dan cara pelaporan yang berbeza. Data yang sangat terhad menunjukkan tidak ada perbezaan antara cilostazol dan pentoxifylline untuk meningkatkan jarak berjalan kaki, dan tiada maklumat yang mencukupi yang membandingkan cilostazol dengan pentoxifylline, untuk hasil-hasil yang lain.

Kepastian bukti

Kami menilai bukti sebagai mempunyai 'kepastian sangat rendah' hingga 'kepastian rendah' untuk semua hasil kecuali sakit kepala, yang merupakan 'kepastian sederhana'. Semua kajian diturunkan taraf kerana kami sangat mengesyaki bias penerbitan daripada penglibatan syarikat ubat.

Kesimpulan

Cilostazol dapat meningkatkan jarak berjalan kaki secara keseluruhan dan sebelum bermulanya kesakitan, berbanding dengan plasebo. Cilostazol dikaitkan dengan penambahan sakit kepala dan terdapat kekurangan bukti untuk hasil penting lain seperti amputasi, revaskularisasi dan kejadian kardiovaskular.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information