Sokongan berterusan bagi wanita semasa bersalin

Apakah isunya?

Pada masa lalu, wanita telah dijaga dan disokong oleh wanita lain semasa proses bersalin dan kelahiran, dan mempunyai seseorang bersama mereka sepanjang masa, yang kami panggil 'sokongan berterusan'. Walau bagaimanapun, di kebanyakan negara lebih ramai wanita melahirkan bayi di hospital dan bukannya di rumah. Ini bermakna sokongan berterusan semasa proses bersalin telah menjadi sesuatu kecualian dan bukan lagi menjadi kebiasaan. Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk memahami kesan sokongan berterusan bagi seorang wanita semasa proses bersalin dan kelahiran dan bayinya. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini (Tarikh carian: Oktober2016)

Mengapa ini penting?

Penyelidikan menunjukkan bahawa wanita menghargai dan mendapat manfaat dari kehadiran seseorang penyokong semasa proses bersalin dan kelahiran bayi. Sokongan ini termasuk sokongan emosi (kehadiran berterusan, jaminan dan pujian) dan maklumat mengenai kemajuan proses bersalin Ia juga termasuk nasihat tentang teknik kendalian, langkah-langkah keselesaan (sentuhan yang selesa, urutan, mandian hangat, menggalakkan pergerakan, menggalakkan pengambilan dan pengeluaran air yang mencukupi) dan bercakap apabila diperlukan bagi pihak wanita tersebut. Kekurangan sokongan berterusan semasa kelahiran bayi menyebabkan kebimbangan bahawa pengalaman proses bersalin dan kelahiran mungkin telah dinyahmanusiakan.

Penjagaan obstetrik moden sering bererti wanita perlu mengalami rutin institusi. Ini boleh mempunyai kesan yang buruk pada kualiti, hasil dan pengalaman penjagaan semasa proses bersalin dan kelahiran bayi. Penjagaan sokongan semasa proses bersalin boleh meningkatkan fisiologi proses bersalin, serta perasaan kawalan wanita dan keyakinan terhadap kekuatan dan keupayaan mereka untuk melahirkan bayi. Ini mungkin mengurangkan keperluan untuk intervensi obstetrik dan juga menambahbaikkan pengalaman wanita.

Apakah bukti yang kita dapati?

Kami mendapati 26 kajian yang menyediakan data dari 17 negara, yang melibatkan lebih daripada 15,000 wanita dalam persekitaran dan keadaan luas. Sokongan berterusan telah diberikan oleh samada kakitangan hospital (seperti jururawat ataupun bidan), atau wanita yang bukan kakitangan hospital dan tidak mempunyai hubungan peribadi dengan wanita yang akan melahirkan bayi (seperti ‘doula’ atau wanita yang telah diberi petunjuk yang sederhana untuk memberi sokongan) Dalam kes lain, sokongan itu datang dari para sahabat pilihan wanita dari rangkaiannya sendiri (seperti pasangan, ibu, atau rakannya).

Wanita yang menerima sokongan berterusan dalam proses bersalin adalah lebih berkemungkinan untuk melahirkan bayi secara spontan, iaitu, melahirkan bayi melalui vagina bukan secara ‘caesarean’ ataupun vakum ataupun ‘forceps’. Tambahan pula, wanita kurang berkemungkinan menggunakan ubatan tahan sakit atau melahirkan secara caesarean, berasa lebih puas, dan menghadapi jangkamasa yang lebih singkat dalam proses bersalin. Kemurungan postpartum mungkin lebih rendah dikalangan wanita yang disokong dalam proses bersalin, tetapi kita tidak dapat memastikan ini kerana kajian sukar untuk dibandingkan (mereka berada dalam keadaan yang berbeza, dengan orang yang berlainan memberi sokongan). Bayi-bayi wanita yang menerima sokongan berterusan kurang kemungkinan untuk memiliki skor Apgar lima-minit yang rendah (skor yang digunakan untuk menilai kesihatan dan kesejahteraan bayi ketika dilahirkan dan tidak lama selepas itu). Kami tidak mendapati sebarang perbezaan dalam bilangan bayi yang dimasukkan ke penjagaan khas, dan tiada perbezaan yang ditemui dalam sama ada bayi menyusui susu ibu pada usia lapan minggu. Tiada kesan buruk sokongan telah dikenal pasti. Keseluruhannya, kualiti bukti adalah rendah kerana terdapat batasan dalam reka bentuk kajian dan perbezaan antara kajian.

Apakah maksud ini?

Sokongan berterusan semasa proses bersalin boleh memperbaiki sebilangan hasil bagi kedua-dua ibu dan bayi, dan tiada kesan buruk telah dikenal pasti. Sokongan berterusan daripada seseorang yang hadir semata-mata untuk memberi sokongan, bukan merupakan seorang ahli rangkaian sendiri wanita, berpengalaman dalam menyediakan sokongan semasa bersalin, dan mempunyai sekurang-kurangnya sejumlah latihan yang sederhana (seperti doula) nampaknya bermanfaat. Berbanding dengan mempunyai tiada teman semasa proses bersalin, sokongan dari ahli keluarga pilihan atau rakan nampaknya boleh meningkatkan kepuasan wanita dengan pengalaman mereka. Kajian masa depan perlu menyiasat bagaimana sokongan berterusan yang terbaik boleh diberikan dalam konteks yang berbeza.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College) Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my

Tools
Information