Mesej utama
- Di kalangan orang yang menerima transplan organ pepejal, pemberian ubat antivirus mengurangkan penyakit cytomegalovirus (CMV) dan kematian akibat penyakit CMV, berbanding dengan plasebo atau tanpa rawatan.
- Tempoh profilaksis yang lebih lama didapati lebih berkesan daripada terapi tiga bulan di kalangan penerima transplan buah pinggang dan paru-paru.
- Valganciclovir pada dos rendah didapati seberkesan dos standard untuk mencegah CMV di kalangan penerima transplan buah pinggang berisiko sederhana.
Mengapa ubat antivirus digunakan untuk mencegah penyakit CMV dI kalangan penerima transplan organ pepejal?
CMV (sejenis virus herpes) adalah jenis virus yang paling kerap di kalangan orang yang menerima transplan organ pepejal (buah pinggang, jantung, hati, paru-paru dan pankreas). CMV merupakan penyebab utama penyakit dan kematian dalam tahun pertama selepas transplan.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin melihat kedua-dua faedah dan mudarat ubat antivirus untuk mencegah penyakit CMV di kalangan orang yang menerima transplan organ pepejal.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari semua kajian yang menilai faedah dan mudarat rawatan antivirus yang diperuntukkan secara rawak untuk mencegah penyakit CMV di kalangan orang yang menerima transplan organ pepejal. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap maklumat berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menyertakan 41 kajian yang melibatkan 5051 orang yang telah menerima transplan buah pinggang, buah pinggang dan pankreas, hati, jantung, paru-paru atau jantung dan paru-paru . Kami mendapati bahawa beberapa ubat antivirus (ganciclovir, valaciclovir dan aciclovir) mengurangkan risiko penyakit CMV, kematian yang disebabkan oleh penyakit CMV dan penyakit klinikal yang disebabkan oleh herpes simplex, berbanding dengan plasebo atau tanpa rawatan. Untuk penyakit CMV dan kematian, faedah aciclovir, ganciclovir dan valaciclovir telah dilihat di kalangan orang yang menerima transplan jantung, buah pinggang atau hati. Faedah ini berlaku baik di kalangan penerima yang pernah mengalami jangkitan CMV pada masa lampau, mahupun penerima yang tidak pernah mengalami CMV sebelum ini tetapi telah menerima transplan daripada penderma yang pernah mengalami jangkitan CMV pada masa lampau. Faedah berlaku pada setiap jarak masa. Kami mendapati bahawa ganciclovir lebih berkesan berbanding aciclovir dan seberkesan valganciclovir, yang pada masa ini merupakan ubat antivirus yang paling biasa digunakan untuk mencegah penyakit CMV di kalangan penerima transplan. Dos valganciclovir yang berbeza-beza tidak mengakibatkan perbezaan dalam mencegah penyakit CMV.
Apakah batasan bukti?
Kajian pada masa hadapan mungkin diperlukan dalam kumpulan penderma-penerima seronegatif bergantung kepada prevalens penyakit CMV dalam kumpulan ini dengan rejimen imunosupresif yang lebih baru dan lebih manjur.
Lebih banyak maklumat diperlukan tentang keberkesanan profilaksis dengan pelbagai rejimen imunosupresif yang digunakan bagi mencegah dan merawat penolakan dalam organ transplan yang berlainan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Februari 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).