Soalan ulasan
Ulasan Cochrane ingin tahu sama ada orang yang lebih berisiko untuk endokarditis bakteria (suatu jangkitan atau keradangan lapisan ruang jantung teruk yang boleh menjadi fatal) patut diberi antibiotik secara rutin sebelum sebarang prosedur pergigian invasif untuk mengurangkan insidens endokarditis, bilangan kematian, dan jumlah penyakit serius yang dialami oleh pesakit dalam kumpulan ini.
Latar belakang
Endokarditis bakteria adalah jangkitan yang cenderung berlaku di kawasan jantung yang telah rosak atau cacat. Ia sering dirawat dengan antibiotik. Walaupun jarang berlaku, endokarditis bakteria berpotensi mengancam nyawa. Sehingga 30% orang yang mengalami jangkitan mungkin mati, walaupun dengan rawatan antibiotik.
Prosedur pergigian invasif boleh menyebabkan endokarditis bakteria dalam kalangan orang yang berisiko. Bilangan kes endokarditis bakteria (jika ada) yang disebabkan secara langsung dengan cara ini tidak diketahui. Banyak prosedur pergigian menyebabkan bakteremia, iaitu kehadiran bakteria dalam darah. Walaupun bakteremia biasanya ditangani dengan cepat oleh sistem imun badan, sesetengah pakar berpendapat ia mungkin membawa kepada endokarditis bakteria dalam kalangan sesetengah orang yang berisiko.
Garispanduan di kebanyakan negara mengesyorkan pemberian antibiotik kepada orang yang berisiko endokarditis sebelum prosedur pergigian invasif. Tetapi sesetengah pihak mempersoalkan penggunaan antibiotik rutin, dengan alasan terlebih preskripsi akan menimbulkan ketahanan organisme kepada antibiotik yang lazim dan juga kesan buruk tertentu antibiotik (reaksi alahan yang teruk) boleh melebihi potensi manfaatnya.
Pada 2007, panduan daripada Persatuan Jantung Amerika berubah untuk mengesyorkan antibiotik hanya diberi kepada orang yang berisiko tinggi mendapat endokarditis bakteria sebelum intervensi pergigian. Panduan daripada Institut Kebangsaan untuk Kecemerlangan Kesihatan dan Penjagaan (NICE) di England dan Wales selanjutnya menasihati tidak membuat preskripsi rutin antibiotik pencegahan untuk prosedur pergigian atau pembedahan invasif.
Ciri-ciri kajian
Tiada kajian baharu untuk disertakan dalam ulasan yang dikemas kini ini. Ulasan asal kami menyertakan satu kajian yang berpangkalan di Belanda yang membandingkan rawatan dalam kalangan orang yang berisiko tinggi untuk endokarditis yang mengalami atau tidak mengalami endokarditis bakteria. Para penulis mengumpul maklumat 48 orang yang telah mengalami endokarditis bakteria dalam tempoh dua tahun tertentu dan telah menjalani prosedur perubatan atau pergigian dengan indikasi untuk profilaksis dalam tempoh 180 hari yang lalu. Mereka dipadankan kepada kumpulan yang agak sama tetapi tidak menghidap endokarditis bakteria. Kesemua peserta kajian telah menjalani prosedur pergigian atau perubatan yang invasif. Kedua-dua kumpulan itu dibandingkan untuk menentukan sama ada mereka yang telah menerima antibiotik pencegahan kurang cenderung untuk mendapat endokarditis.
Keputusan utama
Adalah tidak jelas sama ada pengambilan antibiotik pencegahan sebelum prosedur pergigian invasif berkesan atau tidak terhadap endokarditis bakteria dalam kalangan orang yang berisiko.
Kami tidak mendapati kajian yang menilai bilangan kematian, kejadian buruk serius yang memerlukan kemasukan ke hospital, kesan buruk lain atau implikasi kos rawatan.
Adalah tidak jelas sama ada potensi bahaya dan kos pemberian antibiotik melebihi kesan yang bermanfaat. Secara etika, pengamal perlu berbincang dengan pesakit tentang potensi manfaat dan bahaya rawatan antibiotik pencegahan sebelum membuat keputusan.
Batasan bukti
Bukti adalah berdasarkan satu kajian yang mempunyai beberapa batasan dalam reka bentuknya. Sebagai contoh, peserta yang menerima antibiotik mungkin mengalami kesihatan umum yang lebih teruk daripada mereka yang tidak menerimanya. Kami tidak yakin dengan bukti tersebut. Kami hanya boleh membuat kesimpulan kami tidak tahu kesan antibiotik profilaksis untuk pencegahan endokarditis bakteria.
Tarikh bukti
Ulasan ini mengemas kini ulasan asal yang dibuat pada 2004. Ia kini mutakhir hingga 10 Mei 2021.
Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi cochrane @rcsiucd.edu.my