Perencat ACE untuk rawatan tekanan darah tinggi

Kelas ubat yang dipanggil ACE inhibitor biasanya digunakan untuk rawatan tekanan darah tinggi. Kelas ini merangkumi ubat seperti ramipril, captopril (Capoten), enalapril (Vasotec), fosinopril (Monopril), lisinopril (Prinivil, Zestril) dan quinapril (Accupril). Penyelidik bertanya sejauh manakah kelas ubat ini menurunkan tekanan darah dan sama ada terdapat perbezaan antara ubat-ubat dalam kelas yang sama. Penulisan saintifik yang sedia ada telah dinilai untuk mencari semua kajian yang telah menilai soalan ini.

Kami mendapati terdapat 92 kajian yang membahagikan peserta secara rawak untuk mengambil sama ada perencat ACE atau bahan tidak aktif (plasebo). Kajian-kajian ini menilai keupayaan menurunkan tekanan darah dalam 14 perencat ACE yang berbeza dalam 12954 peserta. Kajian-kajian mengikuti peserta kira-kira 6 minggu (walaupun orang biasanya dijangka mengambil ubat anti-hipertensi untuk sepanjang hidup mereka). Kesan penurunan tekanan darah adalah sederhana.  Terdapat pengurangan 8 mata pada nombor atas yang menandakan tekanan sistolik dan pengurangan 5 mata pada nombor yang lebih rendah yang menandakan tekanan diastolik.  Kebanyakan kesan menurunkan tekanan darah (kira-kira 70%) dapat dicapai dengan dos ubat yang disarankan paling rendah.  Tiada ubat perencat ACE lebih baik atau lebih buruk daripada yang lain dari segi keupayaan menurunkan tekanan darah.

Hampir kesemua kajian dalam ulasan ini dibiayai oleh syarikat-syarikat yang membuat perencat ACE dan kesan buruk yang serius tidak dilaporkan oleh penulis daripada kajian-kajian ini.  Ini mungkin bermakna syarikat-syarikat ubat menahan penemuan yang tidak baik yang berkaitan dengan ubat mereka.  Disebabkan pelaporan yang tidak lengkap dari jumlah peserta yang keluar dari kajian akibat tindak balas ubat-ubatan yang buruk, serta jangka pendek dalam kajian ini, ulasan ini tidak dapat memberikan anggaran yang baik terhadap bahaya yang berkaitan dengan kelas ubat ini.  Memberikan perencat ACE yang paling murah dalam dos yang lebih rendah akan menyebabkan penjimatan kos yang tinggi, dan mungkin pengurangan dalam kesan sampingan berkaitan dengan dos. 

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information