Pembiusan untuk pembedahan tangan dan lengan melalui suntikan tunggal, berganda atau berbilang yang diletakkan berdekatan dengan saraf di ketiak

Soalan ulasan

Ulasan ini membandingkan kesan suntikan bius tempatan iaitu tunggal, berganda and berbilang (tiga atau empat) di sekitar saraf di ketiak dalam penyediaan pembiusan bahagian untuk pembedahan tangan, pergelangan tangan atau lengan pada orang dewasa.

Latar belakang

Kaedah umum pembiusan serantau untuk pembedahan tangan, pergelangan tangan atau lengan adalah dengan menyuntik anestetik tempatan ke dalam tisu-tisu di sekitar saraf di ketiak. Ini adalah kerana di ketiak (aksila), saraf utama untuk bahagian bawah lengan adalah saling berdekatan dan lebih mudah untuk dijumpai. Jenis pembiusan ini dipanggil blok plexus brakial aksilari. Saraf dijumpai dengan jarum dengan menggunakan pelbagai kaedah termasuk neurostimulasi (di mana arus elektrik disalurkan melalui jarum untuk merangsang saraf dan menghasilkan pergerakan otot), pendekatan klik fasial (tusukan sarung di sekitar saraf), atau transarterial pendekatan (tusukan arteri di sebelah saraf). Kejayaan untuk menyekat saraf menghasilkan lengan yang kebas dan tempang yang memungkinkan pembedahan tanpa rasa sakit. Saraf ini mungkin disekat dengan menggunakan suntikan bius tempatan iaitu tunggal, berganda atau berbilang (tiga atau empat), tetapi tidak jelas teknik mana yang lebih digemari.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari ulasan kesusasteraan sehingga April 2016 dan mengenalpasti 22 percubaan terkawal secara rawak untuk dimasukkan dalam ulasan. Kajian ini melibatkan seramai 2193 orang peserta yang diberi bius serantau untuk pembedahan tangan, pergelangan tangan, lengan atau siku. Kajian menggunakan kaedah yang pada umunya mencukupi dan tidak mempengaruhi kesahan penemuan.

Keputusan utama

Sembilan kajian membandingkan dua suntikan berbanding dengan satu suntikan. Ini mendapati bahawa orang dalam kumpulan suntikan dua kali ganda mengalami penurunan 45% peluang mereka untuk memerlukan bius tambahan. Kesan adalah lebih pasti dalam empat kajian di mana saraf dijumpai dengan menggunakan kaedah neurostimulasi yang lebih tepat. Dalam sembilan kajian membandingkan suntikan berbilang dengan suntikan tunggal, dan 12 kajian membandingkan suntikan berbilang dengan suntikan berganda, terdapat penurunan yang signifikan dalam peluang untuk memerlukan anestesia tambahan dalam kumpulan suntikan berbilang (pengurangan 75% dan 73% jika dibandingkan dengan suntikan tunggal dan berganda masing-masing). Di samping itu, orang dalam kumpulan suntikan berbilang adalah 47% lebih kecil kemungkinannya mengalami kesakitan daripada pembedahan “tourniquet” berbanding dengan kumpulan suntikan dua kali. Tidak ada perbezaan statistik yang signifikan dalam komplikasi atau ketidakselesaan pesakit antara kedua-dua kumpulan untuk salah satu daripada tiga perbandingan tersebut. Suntikan tunggal dan suntikan berganda memerlukan lebih sedikit masa untuk dilakukan daripada suntikan berbilang, tetapi ini tidak mengurangkan jumlah masa yang diperlukan untuk mencapai pembiusan pembedahan yang mencukupi.

Secara keseluruhan, terdapat bukti berkualiti tinggi yang menunjukkan bahawa bius suntikan berbilang yang berdekatan dengan tiga atau empat saraf di ketiak memberikan kesan bius yang lebih lengkap untuk pembedahan tangan dan lengan bawah daripada satu atau dua suntikan. Namun, tidak ada cukup bukti untuk menentukan sekiranya terdapat perbezaan yang signifikan dalam hasil yang lain, termasuk keselamatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wendy Yeo Wai Yeng (Perdana University, Malaysia). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information