Soalan ulasan
Penulis Cochrane mengulas bukti mengenai kesan kepada kesuburan dengan pembedahan membuang fibroid dalam kalangan wanita yang tidak subur.
Latar belakang
Fibroid adalah tumor tidak berbahaya yang paling biasa di saluran peranakan wanita dan biasanya menjejaskan wanita dalam usia reproduktif. Fibroid berlaku di bahagian yang berbeza di rahim dan dalam pelbagai saiz dan bentuk. Fibroid boleh membawa kepada pelbagai gejala termasuk pendarahan haid yang banyak, kesakitan, kesukaran untuk hamil, atau masalah dengan kehamilan seperti keguguran dan kelahiran pramatang. Pada wanita yang ingin mengekalkan kesuburan mereka, ia adalah mungkin untuk membuang fibroid dan pada masa yang sama memelihara rahim, pembedahan yang dikenali sebagai myomectomy. Prosedur ini boleh dilakukan secara laparotomi (pembedahan abdomen terbuka), pembedahan cara laparoskopi (lubang kunci melalui abdomen) atau pembedahan hysteroscopic (lubang kunci melalui leher rahim) bergantung kepada tempat dan saiz fibroid. Ulasan ini bertujuan untuk menjawab dua soalan. Pertama, sama ada myomectomy membawa kepada peningkatan dalam kesuburan; dan kedua, jika prosedur ini bermanfaat, apakah pendekatan pembedahan yang ideal?
Ciri-ciri kajian
Ulasan ini memasukkan empat kajian dengan 442 peserta. Satu kajian membandingkan myomectomy dengan tanpa rawatan. Baki tiga kajian membandingkan kaedah pembedahan yang berbeza dalam melaksanakan myomectomy. Bukti adalah terkini sehingga Februari 2019.
Keputusan utama
Satu kajian meneliti kesan myomectomy berbanding tanpa rawatan. Keputusan mendapati bukti yang tidak mencukupi untuk menentukan perbezaan antara pilihan rawatan bagi kadar kehamilan klinikal atau kadar keguguran. Kajian ini tidak melaporkan tentang kelahiran hidup, kelahiran pramatang, kadar kehamilan berterusan atau pembedahan caesarean. Mengenai pendekatan pembedahan yang terbaik, tiga kajian telah dikenalpasti. Dua kajian membandingkan myomectomy secara mini-laparotomi atau laparotomi dengan laparoskopi myomectomy dan mendapati bukti yang tidak mencukupi untuk menentukan perbezaan bagi kelahiran hidup, kelahiran pramatang, kehamilan klinikal, keguguran, pembedahan caesarean dan kadar kehamilan berterusan. Kajian ketiga ini membandingkan penggunaan peralatan pembedahan yang berbeza semasa hysteroscopic myomectomy dan mendapati bukti yang tidak mencukupi untuk menentukan perbezaan bagi kelahiran hidup/kadar kehamilan berterusan, kadar kehamilan klinikal dan kadar keguguran. Kajian ini tidak melaporkan tentang pembedahan caesarean atau kadar kelahiran pramatang. Jelas bahawa lebih banyak kajian adalah diperlukan sebelum konsensus boleh dicapai tentang peranan myomectomy untuk ketidaksuburan.
Kualiti bukti
Bukti adalah berkualiti sangat rendah. Terdapat beberapa kebimbangan tentang bagaimana data dianalisis dan oleh itu bukti tidak boleh dianggap muktamad sehingga kajian lanjut boleh didapati.
Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my