Intervensi untuk memperbaiki kesihatan oral dalam kalangan orang selepas strok

Soalan ulasan

Kami ingin tahu sama ada intervensi penjagaan kesihatan oral (OHC) meningkatkan kesihatan oral orang yang mengalami strok, dan jika ada satu intervensi OHC yang memberi lebih manfaat berbanding pendekatan lain.

Latar belakang

Tiga perempat orang yang dilanda strok mengalami masalah fizikal, dan kelemahan, kurang koordinasi dan masalah kognitif (perhatian, ingatan, bahasa dan orientasi) akibat strok boleh menyukarkan seseorang untuk menjaga kesihatan dan kebersihan mulut, lidah dan gigi mereka sendiri. Mulut yang bersih bukan sahaja berasa selesa tetapi amalan OHC (pembuangan plak dan sisa makanan yang melekat pada gigi) adalah faktor penting dalam mengekalkan kesihatan mulut, gigi dan gusi. Mulut yang bersih dan sihat akan mencegah sakit atau ketidakselasaan bagi membolehkan orang memakan makanan yang berkhasiat. Mengekalkan penjagaan oral mungkin sukar selepas strok dan kakitangan penjagaan kesihatan mungkin perlu membantu menyediakan penjagaan tersebut.

Kami ingin melihat sama ada intervensi OHC dapat memperbaiki kebersihan gigi mangsa strok dengan mengurangkan plak gigi atau plak gigi palsu (hasil utama kami). Kami juga berminat untuk tahu sama ada intervensi OHC akan memperbaik hasil (sekunder) lain termasuk kepuasan dan kualiti hidup pesakit, kehadiran penyakit mulut, kehadiran jangkitan yang berkaitan, dan pengetahuan dan sikap penyedia penjagaan strok dan sikap terhadap OHC.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2019.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 15 kajian (22 perbandingan) yang melibatkan 1546 orang dengan strok, 1028 kakitangan dan 94 penjaga dalam ulasan kemas kini ini. Tujuh kajian membandingkan OHC dengan penjagaan biasa; tiga kajian membandingkan OHC dengan plasebo (rawatan palsu atau rawatan biasa), dan 12 kajian membandingkan dua jenis OHC.

Keputusan utama

Kami menemui sedikit bukti untuk memberitahu bagaimana OHC dapat disampaikan dengan baik. Terdapat bukti berkualiti rendah dari kajian yang membandingkan OHC dengan penjagaan standard yang menunjukkan OHC dapat mengurangkan plak gigi palsu. Tiada perbezaan untuk kajian-kajian yang mengukur plak gigi. Kami temui bukti berkualiti rendah yang menunjukkan bahawa melatih kakitangan kejururawatan dan penjaga keluarga dapat memperbaiki pengetahuan dan sikap mereka terhadap OHC. Terdapat bukti berkualiti rendah menunjukkan impak bermanfaat gel dekontaminasi (untuk mengurangkan bilangan bakteria dalam mulut) terhadap insiden pneumonia berbanding gel plasebo dalam kalangan pesakit di wad strok. Walau bagaimanapun, tiada maklumat lain tentang cara terbaik untuk menyediakan OHC dan lebih banyak kajian diperlukan dengan segera.

Kualiti bukti

Walaupun terdapat beberapa kajian baharu OHC untuk orang selepas strok sejak ulasan terakhir, masih kurang bukti berkualiti tinggi untuk memaklum OHC dalam persekitaran penjagaan strok.

Kesimpulan

Kami menilai kualiti bukti terkini dalam ulasan ini adalah sangat rendah hingga rendah. Kami kekurangan bukti berkualiti tinggi tentang pendekatan optimum untuk menyediakan OHC kepada orang setelah strok. Tambahan kajian klinikal yang dilaksana dengan baik diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information