Oxycodone untuk sakit yang berkaitan dengan kanser dalam kalangan dewasa

Latar belakang

Kebanyakan pesakit kanser mengalami sakit tahap sederhana hingga teruk yang memerlukan rawatan dengan ubat tahan sakit yang kuat yang diklasifikasi sebagai opioid.

Oxycodone dan morfin adalah contoh opioid yang diguna untuk melegakan sakit kanser. Walau bagaimanapun, ubat tahan sakit yang kuat tidak berkesan untuk semua orang ataupun sesuai untuk semua orang. Ulasan ini bertujuan menilai sama ada penggunaan oxycodone berkait dengan kelegaan sakit dan kurang kesan sampingan berbanding ubat tahan sakit lain yang kuat bagi orang dewasa dengan sakit kanser.

Ciri-ciri kajian

Dalam kemaskini ini pada November 2021, kami mendapati 19 kajian tambahan yang relevan. Keseluruhan, kami sertakan 42 kajian dengan 4485 peserta. Kajian-kajian tersebut membandingkan keberkesanan ubat tahan sakit (manfaat) dan kesan sampingan (mudarat) pelbagai jenis oxycodone antara satu sama lain atau dengan ubat tahan sakit lain yang kuat.

Keputusan utama

Secara umum, kajian-kajian menunjukkan tiada perbezaan antara oksikodon yang diambil setiap 4-6 (lepas segera) atau setiap 12 (lepasan terkawal) jam. Secara umum, kajian juga menunjukkan tiada perbezaan antara oxycodone dan ubat tahan sakit kuat lain seperti morfin.

Semua ubat tahan sakit kuat yang dinilai dalam kajian juga ada beberapa kesan yang tidak diingini, seperti muntah, sembelit, dan mengantuk. Secara keseluruhan, ini tidak berbeza antara oxycodone dan ubat penahan sakit kuat yang lain. Halusinasi (di mana orang mengalami khayalan, contohnya mendengar suara) adalah lebih jarang berlaku sebagai kesan sampingan ubat tahan sakit yang kuat, dan kami dapati ia kurang cenderung dengan oksikodon berbanding morfin.

Secara keseluruhan, kami dapati bukti terkini mengandungi kajian-kajian yang melibatkan bilangan orang yang kecil di mana ramai (12.2%) tidak menamatkan kajian. Walau bagaimanapun, oleh kerana perbezaan yang kecil di antara oxycodone dan morfin penyelidikan lanjut dalam bidang ini mungkin tidak dijalankan. Ini mungin kerana perekrutan dan pengekalan peserta dalam konteks ini adalah mencabar. Kajian-kajian yang membandingkan oxycodone dengan ubat tahan sakit kuat yang lain mungkin berguna.

Kepastian bukti

Kami menilai kepastian bukti daripada kajian-kajian menggunakan empat tahap: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Kepastian bukti yang sangat rendah bermakna kami sangat tidak pasti dengan keputusan tersebut. Bukti berkepastian tinggi bermakna kami sangat yakin dengan keputusan tersebut. Secara keseluruhan, kepastian bukti dalam ulasan ini dinilai rendah atau sangat rendah, bermakna kami tidak pasti tentang keputusan kerana masalah kualiti kajian dan saiz kecil.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Zcho Huey. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information