Mesej utama
• Trabekuloplasti laser mungkin berfungsi lebih baik daripada ubat topikal (titisan mata) dalam melambatkan perkembangan glaukoma sudut terbuka (kadar kehilangan medan penglihatan, iaitu kehilangan penglihatan di tepi penglihatan) dan mungkin serupa dengan ubat titis mata moden dalam mengawal tekanan mata dengan kos yang lebih rendah. Ia tidak dikaitkan dengan sebarang kesan tidak diingini yang serius, terutamanya untuk jenis trabekuloplasti yang lebih baharu, seperti trabekuloplasti laser terpilih.
• Trabekuloplasti laser nampaknya kurang berkesan berbanding trabekulektomi (pembedahan untuk glaukoma).
Apakah itu glaukoma sudut terbuka?
Glaukoma adalah penyakit mata di mana saraf yang menghubungkan mata dengan otak (saraf optik) rosak. Biasanya, ini berlaku kerana tekanan di dalam bola mata (tekanan intraokular) terlalu tinggi, mungkin kerana saluran saliran dalam mata telah tersumbat.
Bagaimanakah glaukoma sudut terbuka dirawat?
Matlamat rawatan untuk glaukoma adalah untuk mengurangkan tekanan dalam bola mata untuk melindungi saraf optik daripada lebih banyak kerosakan. Mengurangkan tekanan pada mata boleh dilakukan dengan titisan mata, rawatan laser, atau pembedahan. Trabekuloplasti laser melibatkan membuka saluran saliran tersumbat pada mata.
Apakah yang kami ingin tahu?
Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sejauh mana trabekuloplasti laser berfungsi sebagai rawatan untuk glaukoma sudut terbuka.
Apakah yang telah kami lakukan?
Ulasan ini membandingkan rawatan laser (trabekuloplasti laser) dengan ubat topikal (titisan mata) dan pembedahan (trabeculectomy). Penyelidik Cochrane telah mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini.
Apakah yang telah kami temui?
Penyelidik Cochrane mendapati 40 kajian yang berkaitan. Kajian ini kebanyakannya dari Eropah dan Amerika Syarikat.
Keputusan adalah seperti berikut:
• Kajian berbeza mendapati kesan berbeza pada tekanan mata apabila membandingkan trabekuloplasti laser dengan titisan mata. Kajian lama lebih berkemungkinan menunjukkan manfaat trabekuloplasti laser yang mungkin kerana titisan mata dalam kajian lama ini tidak berfungsi sebaik ubat titis mata moden (bukti kepastian rendah). Tiga kajian menunjukkan manfaat trabekuloplasti berbanding titisan mata untuk mengelakkan perkembangan medan visual pada 24 bulan (argon) dan 48 bulan (selektif) (bukti kepastian sederhana, diturunkan taraf untuk berat sebelah risiko).
• Kesan berbahaya adalah lebih biasa dalam kumpulan trabekuloplasti laser dan termasuk lebih banyak kes di mana iris tersangkut pada tepi mekanisme saliran di dalam mata (synaechiae anterior periferal) tetapi ini hanya dilihat dengan jenis trabekuloplasti laser (argon) yang lebih lama (bukti kepastian rendah).
• Orang yang menerima trabekuloplasti laser mungkin lebih berkemungkinan mengalami tekanan pada bola mata yang terlalu tinggi berbanding dengan orang yang menjalani pembedahan (trabekulektomi) (bukti kepastian rendah).
• Pembedahan (trabekulektomi) boleh meningkatkan risiko katarak berbanding dengan laser (bukti kepastian yang sangat rendah).
• Sebilangan kajian membandingkan pelbagai jenis laser (argon, selektif, diod, eksimer, pengimbasan corak, titanium-nilam dan mikrodenyutan) tetapi dengan keputusan yang tidak meyakinkan.
Apakah batasan bukti ini?
Sesetengah kajian tidak bertopeng dan tidak cukup besar untuk memberikan jawapan yang boleh dipercayai kepada soalan itu. Terdapat perubahan dari semasa ke semasa dalam kedua-dua laser dan titisan mata, yang bermakna, untuk beberapa hasil, terdapat kesan yang berbeza dalam kajian yang berbeza.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Para penulis Ulasan Cochrane mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 28 Oktober 2021.
Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my