Moksibusi untuk memusingkan bayi dalam kedudukan songsang

Apakah isunya?

Kedudukan songsang (apabila bayi berada di bawah) adalah perkara biasa pada trimester kedua kehamilan. Kebanyakan bayi berpusing di mana kepala mereka ke bawah, bersedia untuk dilahirkan, sebelum permulaan kelahiran; namun, ada yang tidak. Bayi yang keluar dengan punggung atau kaki terlebih dahulu boleh mengalami lebih banyak kesukaran untuk dilahirkan. Perkara ini akan mendatangkan risiko kepada ibu dan bayi, dan bayi lebih cenderung dilahirkan secara pembedahan caesarean.

Moksibusi adalah sejenis perubatan Cina yang membantu mengubah kedudukan bayi yang songsang. Ia melibatkan pembakaran herba ( Artemesia spp.) dekat dengan kulit pada titik akupunktur pada jari kaki untuk menghasilkan rasa panas dan memberi rangsangan kepada rahim. Ini boleh dilakukan oleh ibu atau oleh ahli keluarga atau rakan selepas mereka menerima latihan tentang cara mengendalikan moksibusi dengan selamat.

Mengapakah ini penting?

Kelahiran melalui faraj apabila bayi dalam kedudukan songsang adalah mungkin dengan doktor dan bidan yang berpengalaman dan hospital yang serba lengkap, dan kelahiran songsang melalui faraj yang tidak dirancang boleh berlaku di luar tetapan penjagaan primer. Walau bagaimanapun, tidak semua hospital menawarkan kelahiran melalui faraj bagi wanita dengan bayi berkedudukan songsang, dan kelahiran secara pembedahan caesarean boleh dirancang. Ramai penyedia penjagaan kesihatan dan ibu hamil mahu mengelak pembedahan caesarean kerana ia mempunyai risiko untuk kehamilan semasa dan akan datang. Kami ingin tahu sama ada rawatan moksibusi, yang boleh dijalankan sendiri di rumah oleh wanita tersebut atau keluarga dan rakannya, boleh membantu bayi memusingkan badan agar kedudukan kepalanya berada di bawah untuk kelahiran.

Apakah bukti yang telah kami temui?

Kami telah mencari bukti sehingga 3 November 2021 untuk kajian yang menguji moksibusi bersama penjagaan biasa (sendirian atau digabungkan dengan rawatan yang lain, seperti akupunktur atau posisi postur) dengan penjagaan biasa, moksibusi palsu (moksibusi pada titik yang salah untuk mengubah kedudukan songsang; digunakan untuk mengaburi peserta untuk pengagihan kumpulan), posisi postur, atau rawatan yang lain. Kami menilai sebanyak 13 kajian yang melibatkan sejumlah 2181 wanita dan bayi mereka. Kami mengenal pasti tujuh kajian baru. Kami menilai bukti pada kebanyakan hasil sebagai berkepastian rendah hingga sederhana.

Moksibusi bersama penjagaan biasa mungkin mengurangkan bilangan kelahiran bayi songsang lebih banyak berbanding penjagaan biasa sahaja atau moksibusi palsu bersama penjagaan biasa. Terdapat sangat sedikit data tentang kesan moksibusi bersama dengan penjagaan biasa terhadap keperluan prosedur versi sefalik luaran (di mana doktor cuba untuk memusingkan bayi). Moksibusi ditambah penjagaan biasa mungkin tidak mengurangkan bilangan bayi yang dilahirkan melalui pembedahan caesarean (sama ada dibandingkan dengan penjagaan biasa sahaja atau akupunktur palsu serta penjagaan biasa). Kami tidak pasti sama ada moksibusi ditambah penjagaan biasa boleh mengurangkan kemungkinan ketuban pecah lebih awal. Moksibusi serta penjagaan biasa mungkin mengurangkan penggunaan oksitosin, hormon yang digunakan untuk memulakan atau memperbaiki kontraksi semasa bersalin. Terdapat sedikit data tentang kesan moksibusi ditambah penjagaan biasa tentang tahap keasidan darah tali pusat; kami tidak pasti tentang keputusan ini kerana hasil kajian berbeza-beza, dan keputusannya tidak tepat. Kami sangat tidak pasti sama ada moxibusi ditambah penjagaan biasa meningkatkan kemungkinan kesan sampingan, kerana hanya satu kajian melaporkan kesan sampingan mengikut rawatan yang diterima wanita, dan semua kesan sampingan berlaku dalam kumpulan rawatan (27/65 berbanding 0/57).

Kesan sampingan yang paling kerap dilaporkan ialah peningkatan pergerakan janin, kontraksi rahim, loya, sakit kepala, dan melecur akibat memegang kayu moksibusi terlalu hampir dengan kulit.

Apakah maksudnya?

Memulakan terapi moksibusi sebelum 37 minggu kehamilan kemungkinan boleh mengurangkan peluang kepala bayi berada di atas semasa kelahiran, tetapi tidak dapat mengurangkan bilangan bayi yang dilahirkan melalui pembedahan caesarean. Kami memerlukan lebih banyak bukti untuk menentukan risiko kesan sampingan moxibusi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mega Sharminyn. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rsciucd.edu.my

Tools
Information