Ulangan dos kortikosteroid pranatal untuk wanita yang berisiko untuk kelahiran pramatang bagi meningkatkan hasil kesihatan bayi mereka

Apakah isunya?

Bayi yang dilahirkan pramatang (sebelum 37 minggu kehamilan) berisiko mengalami kesukaran bernafas dan penyakit paru-paru kerana paru-paru mereka belum berkembang sepenuhnya. Satu kali pengambilan kortikosteroid pranatal (diberikan semasa mengandung), diberikan kepada wanita yang mungkin bersalin awal, membantu memperkembangkan paru-paru bayi dan meningkatkan kemandirian. Faedah ini tidak bertahan lebih daripada tujuh hari, oleh itu bayi yang dilahirkan pramatang lebih daripada tujuh hari selepas pengambilan kortikosteroid masih berisiko mengalami kesukaran bernafas dan penyakit paru-paru. Ulasan ini memperincikan bukti yang tersedia untuk faedah dan kemudaratan pemberian kortikosteroid tambahan dengan tujuan untuk melanjutkan faedah pada perkembangan paru-paru dan pernafasan.

Mengapakah ini penting?

Kelahiran pramatang adalah perkara biasa, yang menjejaskan kira-kira satu daripada sembilan bayi di seluruh dunia. Selain kesukaran bernafas selepas lahir, bayi pramatang yang bertahan pada minggu-minggu awal selepas kelahiran berisiko mengalami kecacatan jangka panjang seperti kelewatan dalam perkembangan mereka, epilepsi (sawan) dan cerebral palsy (kelemahan dan masalah pada otot yang menjejaskan pergerakan dan penyelarasan).

Ubat kortikosteroid adalah anti-radang dan menyekat pertumbuhan dan pengeluaran kortisol (hormon tekanan) daripada kelenjar adrenal. Akibatnya, rawatan kortikosteroid pranatal ulangan boleh meningkatkan risiko jangkitan dan menyekat pengeluaran kortisol untuk ibu dan bayinya, dan mengurangkan tumbesaran bayi. Oleh itu, adalah penting bahawa kedua-dua faedah dan kesan pemberian ulangan kortikosteroid yang berpotensi negatif difahami untuk membolehkan keputusan rawatan terbaik dibuat dalam amalan klinikal.

Apakah bukti yang telah kami temui?

Kami mencari bukti pada 27 Januari 2021 dan mengenal pasti 11 kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang ramai dimasukkan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan), melibatkan 4895 wanita dan 5975 bayi mereka yang kekal berisiko untuk kelahiran awal lebih daripada tujuh hari selepas pemberian awal kortikosteroid antara minggu 23 dan 34 kehamilan semasa pendaftaran kajian.

Secara keseluruhan, kajian-kajian ini menunjukkan bahawa dos ulangan kortikosteroid pranatal mengurangkan risiko bayi untuk mengalami kesukaran bernafas, termasuk kesukaran yang teruk, dan masalah kesihatan yang serius dalam beberapa minggu pertama selepas kelahiran (bukti berkualiti sederhana hingga tinggi dan dengan risiko bias yang rendah). Mungkin tiada kesan ke atas penyakit paru-paru kronik (biasanya ditakrifkan dengan kesukaran bernafas yang berterusan dan keperluan untuk rawatan oksigen pada usia mereka bila mencapai 36 minggu kehamilan). Data yang ada tidak dapat mengesahkan sama ada terdapat peningkatan, penurunan atau tiada perubahan dalam kombinasi kematian janin atau bayi baru lahir atau bayi di bawah umur satu tahun, pendarahan teruk di otak atau keradangan usus yang teruk.

Bagi wanita, tiada peningkatan dalam kemungkinan kelahiran secara caesarean tetapi tidak pasti sama ada terdapat peningkatan atau penurunan kematian ibu, jangkitan ibu, risiko kesan sampingan ibu atau keperluan untuk menghentikan rawatan akibat kesan sampingan. Tiada kajian yang melaporkan data untuk penyusuan susu ibu semasa meninggalkan hospital atau risiko wanita tersebut dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Dalam lima kajian yang mengikuti bayi sehingga peringkat awal zaman kanak-kanak, tiada faedah atau kemudaratan jangka panjang terhadap perkembangan kemudian. Begitu juga, dua kajian yang mengikuti kanak-kanak sehingga pertengahan zaman kanak-kanak (lima tahun bagi satu kajian dan enam hingga lapan tahun bagi kajian lain) mendapati tiada faedah atau kemudaratan jangka panjang terhadap perkembangan. Untuk peringkat awal dan pertengahan zaman kanak-kanak adalah tidak jelas sama ada jumlah kematian selepas rawak sehingga masa susulan meningkat, menurun ataupun sama.

Bukti yang menjadi asas kepada kenyataan-kenyataan ini secara amnya berkualiti sederhana atau tinggi. Kebanyakan keputusan adalah berdasarkan maklumat dengan risiko bias yang rendah atau beberapa kebimbangan risiko bias.

Apakah maksudnya?

Ulasan ini menunjukkan bahawa dos ulangan kortikosteroid pranatal yang diberikan kepada wanita yang kekal berisiko untuk kelahiran awal selepas pemberian awal kortikosteroid pranatal membantu paru-paru bayi dan mengurangkan masalah kesihatan yang serius dalam minggu-minggu pertama kehidupan tanpa membahayakan kesihatan atau perkembangan hingga ke peringkat pertengahan zaman kanak-kanak. Penyelidikan lanjutan diperlukan tentang manfaat atau kemudaratan jangka panjang untuk bayi tersebut sehingga dewasa.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Faculty of Health and Medical Sciences, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information