Mesej utama
Rawatan dengan perencatan sistem renin-angiotensin (RAS), iaitu perencat enzim penukar angiotensin atau penyekat reseptor angiotensin, adalah terapi utama bukan imunosupresif yang paling biasa digunakan untuk menguruskan pesakit penghidap nefropati IgA (IgAN).
Peranan rawatan bukan imunosupresif yang lain dalam menguruskan IgAN tidak jelas dan memerlukan kajian klinikal lanjut.
Mengapa rawat IgA nefropati dengan rawatan bukan imunosupresif?
IgAN adalah salah satu penyakit buah pinggang yang paling biasa, membawa kepada penurunan fungsi buah pinggang dan kegagalan buah pinggang untuk kira-kira 20% hingga 40% pesakit dalam tempoh 20 hingga 25 tahun. Penyebab IgAN tidak difahami secara meluas, tetapi kebanyakan orang mempunyai sistem imun yang tidak normal yang membawa kepada kerosakan buah pinggang. Walau bagaimanapun, fungsi bukan imun yang lain memainkan peranan dalam kesan penyakit itu kepada buah pinggang.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui jika rawatan bukan imunosupresif (cth agen antihipertensif, antikoagulan, minyak ikan, tonsilektomi, ubatan herba) memperbaiki fungsi buah pinggang dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak penghidap IgAN.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kesemua kajian yang menilai faedah dan kemudaratan rawatan bukan imunosupresif yang diberikan secara rawak kepada orang penghidap IgAN. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap maklumat tersebut berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan saiz percubaan kajian.
Apakah yang telah kami dapati?
Kami memasukkan 80 kajian yang melibatkan 4856 orang penghidap IgAN yang dirawat dengan koleksi pelbagai rawatan bukan imunosupresif. Pesakit dalam kajian telah diberi pelbagai rawatan, termasuk agen penurun tekanan darah (antihipertensif), pembuangan tonsil peserta (tonsilektomi), antimalaria, perubatan tradisional Cina, penokok diet (cth minyak ikan), dan agonis reseptor vitamin D. Ubat antihipertensif yang bertujuan untuk merencatkan RAS nampaknya memperlahankan kerosakan kepada buah pinggang dengan kesan-kesan sampingan yang minimum. Walau bagaimanapun, kesannya dalam menghalang orang daripada terus progres kepada kegagalan buah pinggang tidak jelas. Peranan intervensi lain, seperti tonsilektomi, ubat antimalaria, dan diet rendah kalori dalam merawat pesakit masih tidak jelas.
Apakah batasan bukti?
Bilangan kajian yang sedikit bagi setiap perbandingan dan saiz kecil kajian adalah batasan dalam ulasan ini. Tidak semua kajian memberikan data tentang hasil dapatan yang kami mahukan. Kami tidak pasti tentang keputusannya.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Disember 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Wan Rosalina binti Wan Rosli (Management and Science University, Malaysia). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).