Stoking mampatan untuk pencegahan trombosis urat dalam pada penumpang syarikat penerbangan

Latar belakang

Dalam beberapa tahun terakhir ini, terdapat peningkatan minat mengenai sama ada stoking mampatan (atau 'kaus kaki penerbangan') mengurangkan risiko trombosis urat dalam (DVT; gumpalan darah di kaki) dan masalah peredaran darah lain pada penumpang syarikat penerbangan. Stoking tersebut dipakai sepanjang penerbangan dan serupa dengan jenis yang diketahui berkesan untuk pesakit yang berbaring atas katil selepas pembedahan. Dengan memberi tekanan lembut, khususnya pada pergelangan kaki, stoking mampatan membantu darah mengalir. Tekanan yang digabungkan dengan pergerakan kaki membantu darah dalam urat dangkal (permukaan) bergerak ke urat dalam dan kembali ke jantung. Darah kurang bermungkinan memberku di urat dalam, yang boleh membawa maut jika bekuan bergerak ke paru-paru.

Ciri-ciri dan hasil- hasil utaman kajian

Ulasan ini merangkumi 12 percubaan (2918 peserta) dan kami dapat menggabungkan data dari sembilan percubaan dengan sejumlah 2637 peserta (semasa hingga April 2020). Hampir separuh daripada peserta ditugaskan untuk memakai stoking untuk penerbangan yang berlangsung sekurang-kurangnya lima jam manakala separuh yang lain tidak memakai stoking.

Tidak ada penumpang yang mengalami DVT dengan gejala (sakit kaki yang perlahan, bengkak dan peningkatan suhu) dan tidak ada kejadian serius (gumpalan darah di paru-paru mereka (emboli paru-paru) atau kematian) dilaporkan. Penumpang dinilai dengan teliti selepas penerbangan untuk mengesan masalah dengan peredaran darah di kaki mereka, walaupun mereka sendiri tidak menyedari masalah. Pemakaian stoking mampatan menyebabkan penurunan besar dalam DVT tanpa gejala antara penumpang syarikat penerbangan yang diperuntukkan untuk memakai stoking mampatan berbanding dengan yang diperuntukkan untuk tidak memakai stoking mampatan. Perbezaan DVT tanpa gejala antara kedua-dua kumpulan ini setara dengan pengurangan risiko dari beberapa puluh per seribu penumpang kepada dua atau tiga per seribu. Penumpang yang memakai stoking mempunyai kurang bengkak kaki (edema) daripada mereka yand tidak memakai stoking. Lebih sedikit penumpang mengalami trombosis urat dangkal ketika memakai stoking mampatan daripada mereka yang tidak memakai stoking. Bukan semua kajiann melaporkan kemungkinan masalah dengan memakai stoking namun dalam mereka yang melakukannya, para penyelidik mengatakan bahawa stoking itu boleh diterima dengan baik, tanpa masalah.

Kualiti bukti kajian

Bukti kepastian tinggi menunjukkan bahawa penumpang syarikat penerbangan yang memakai stoking mampatan kurang mengalami DVT tanpa gejala dan bukti kepastian rendah menunjukkan bahawa pembengkakan kaki dikurangkan jika dibandingkan dengan tidak memakai stoking mampatan. Kepastian kami dalam bukti dibatasi oleh cara pembengkakan kaki diukur. Terdapat bukti kepastian sederhana bahawa trombosis urat dangkal dapat dikurangkan dalam penumpang yang memakai stoking mampatan. Kami tidak dapat menilai kesan memakai stoking pada kematian, embolisme paru-paru atau DVT simtomatik kerana tidak ada kejadian seperti itu berlaku dalam percubaan ini. Percubaan secara rawak untuk menilai hasil-hasil ini perlu merangkumi bilangan orang yang ramai.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Melissa Mae Gabriel (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information