Pesari (peranti mekanikal) untuk mengurus prolaps organ pelvis dalam kalangan wanita

Soalan ulasan

Sejauh mana pesari (peranti mekanikal) berkesan untuk mengurus prolaps organ pelvis dalam kalangan wanita?

Latar belakang

Organ pelvis, seperti rahim, pundi kencing atau usus, boleh protrud ke dalam faraj kerana kelemahan pada tisu yang menyokongnya. Protrusi ini dikenali sebagai prolaps organ pelvis. Wanita yang mengalami prolaps melaporkan pelbagai gejala yang mempengaruhi kualiti hidup mereka. Pilihan rawatan untuk gejala prolaps organ pelvis banyak ditentukan oleh pilihan pesakit, kerana intervensi perubahan gaya hidup, latihan otot lantai pelvis (PFMT), pesari dan pembedahan sangat berbeza dengan risiko komplikasi yang berbeza. Pesari faraj adalah salah satu opsyen rawatan untuk prolaps yang lazim diguna untuk mengembalikan organ yang prolaps ke posisi normal dan dengan itu melegakan gejala. Pesari faraj boleh diguna untuk merawat keempat-empat tahap prolaps.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 28 Januari 2020.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui empat kajian melibatkan 478 wanita dengan pelbagai peringkat prolaps. Keempat-empat kajian dilakukan di negara berpendapatan tinggi.

Keputusan utama

Tiada kajian yang melaporkan sama ada gejala prolaps wanita dapat diselesaikan sepenuhnya atau tidak. Kami tidak pasti tentang kesan pesari berbanding tiada rawatan terhadap persepsi pembaikan gejala prolaps, dan penyembuhan atau pembaikan masalah seksual. Kami tidak menemui bukti berkaitan risiko perdarahan faraj atau kesukaran membuang air kecil dalam kajian-kajian yang membandingkan pesari dengan tanpa rawatan.

Kami tidak pasti jika pesari berkesan untuk memperbaiki gejala prolaps wanita berbanding PFMT. Bukti tersebut juga sangat tidak pasti tentang kesan pesari berbanding PFMT terhadap kualiti hidup khusus prolaps dan masalah seksual. Pesari boleh menyebabkan risiko kesan sampingan yang lebih besar, termasuk keputihan, inkontinens urinari dan hakisan dinding faraj, berbanding PFMT.

Pesari dengan PFMT mungkin menyebabkan lebih ramai wanita merasa pembaikan gejala prolaps dan kualiti hidup mereka berbanding PFMT sahaja. Berbanding PFMT sahaja, pesari dengan PFMT mungkin meningkatkan sedikit risiko perdarahan faraj abnormal dan risiko kesukaran membuang air kecil, bagi wanita yang tidak bermasalah ini sebelum memulakan rawatan prolaps, tetapi buktinya sangat tidak pasti.

Kepastian bukti

Kami menilai bukti berkaitan pesari berbanding tiada rawatan sebagai kepastian yang sangat rendah kerana bilangan kecil wanita dalam kajian dan wujudnya masalah dengan cara kajian dijalankan. Kami menilai bukti berkaitan dengan pesari berbanding PFMT, dan pessary dengan PFMT berbanding PFMT sahaja, sebagai kepastian rendah hingga sederhana kerana bilangan kecil wanita yang terlibat dalam kajian-kajian.

Kesimpulan penulis

Setiap kajian melibatkan bilangan kecil wanita, ini mengurangkan kepastian kesimpulan kami. Kami tidak pasti jika pesari boleh memperbaiki gejala prolaps organ pelvis bagi wanita berbanding tanpa rawatan atau bila dibanding dengan rawatan aktif lain seperti PFMT, tetapi pesari bersama PFMT mungkin memperbaiki gejala wanita dan kualiti hidup khusus prolaps. Walau bagaimanapun, mungkin terdapat peningkatan risiko peristiwa buruk dengan pesari berbanding tiada rawatan atau PFMT.

Ulasan ini mendapati dua kajian penilaian ekonomi yang membandingkan rawatan pesari dengan intervensi alternatif (PFMT, pengurusan jangkaan dan prosedur pembedahan).

Ringkasan visual beberapa keputusan daripada ulasan ini boleh didapati di sini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Nooliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information