Apakah strategi terbaik untuk mengeluarkan tiub saliran (kateter kencing) dari pundi kencing selepas 14 hari atau kurang?

Mesej utama

• Mengeluarkan tiub saliran pada waktu lewat malam dan bukannya pada awal pagi dapat mengurangkan jumlah orang yang perlu dimasukkan semula tiub saliran tersebut.

• Mengeluarkan tiub saliran lebih cepat sebelum terlambat mungkin mengurangkan risiko jangkitan yang disebabkan oleh tiub saliran dan kencing yang menyakitkan. Namun, ia mungkin menyebabkan lebih banyak orang yang perlu dimasukkan semula tiub tersebut.

• Kami memerlukan kajian masa depan untuk meneliti kesan pengeluaran tiub saliran bagi orang yang tidak menjalani pembedahan.

Apa itu kateter kencing?

Kateter kencing adalah tiub fleksibel, berongga yang digunakan untuk mengosongkan pundi kencing dan mengumpulkan air kencing di dalam beg. Alat ini digunakan untuk jangka waktu yang pendek untuk orang yang tidak dapat membuang air kecil sendiri, misalnya semasa atau setelah pembedahan, atau ketika kakitangan kesihatan perlu mengukur air kencing seseorang. Salah satu kesan bahaya kateter adalah risiko terkena jangkitan saluran kencing (UTI). Sekiranya kateter dikeluarkan dengan cepat, risiko jangkitan dikurangkan, tetapi jika dikeluarkan terlalu cepat, ia mungkin perlu dimasukkan semula.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin menyiasat kesan strategi yang berbeza terhadap risiko:

• keperluan memasukkan kateter semula;
• mengalami jangkitan saluran kencing (UTI);
• mengalami kesakitan ketika membuang air kecil.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat penggunaan kateter kencing jangka pendek pada orang dewasa. Kami mendefinisikan 'jangka pendek' sebagai 14 hari atau kurang. Kajian boleh dilakukan di mana sahaja dan peserta boleh mengalami sebarang keadaan atau penyakit.

Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 99 kajian yang melibatkan 12,241 peserta. Kebanyakan peserta adalah pesakit yang dibedah dan banyak kajian (50) menilai wanita sahaja.

Kajian ini menyiasat ini:

• mengeluarkan kateter pada awal pagi berbanding dengan lewat malam (13 kajian);
• mengekalkan kateter untuk masa yang lebih pendek atau lebih lama (68 kajian);
• memasang kateter atau membiarkannya mengalir dengan bebas (7 kajian); dan
• memberi rawatan kepada lelaki (penghalang alfa) untuk merehatkan prostat berbanding dengan rawatan sebelum mengeluarkan kateter (3 kajian). Prostat adalah kelenjar kecil yang terletak di antara zakar dan pundi kencing.

Pengeluaran pada awal pagi berbanding lewat malam

Pengeluaran kateter lewat malam dapat mengurangkan risiko perlu memasukkan kateter semula berbanding dengan pengeluaran pada awal pagi. Kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan antara pengeluaran awal pagi dan lewat malam dalam mengalami UTI atau kencing yang menyakitkan.

Penggunaan kateter yang lebih sekejap berbanding lebih lama

Orang yang dikeluarkan kateternya setelah jangka masa yang sekejap mungkin kurang mengalami UTI dan mungkin kurang mengalami kencing yang menyakitkan berbanding dengan mereka yang memakai kateternya dengan lebih lama. Namun, kami juga mendapati bahawa orang mungkin lebih memerlukan kateter dimasukkan semula jika mereka mempunyai kateter lebih sekejap berbanding dengan waktu yang lebih lama.

Pengapit

Mungkin ada sedikit atau tidak ada perbezaan antara pengapit dan saliran bebas pada risiko memerlukan kateter dimasukkan semula. Kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan dalam risiko UTI atau kencing yang menyakitkan.

Rawatan untuk merehatkan prostat

Kami tidak pasti sama ada pemberian penyekat alpha sebelum kateter dikeluarkan mempunyai sebarang kesan terhadap keperluan memasukkan kateter semula atau risiko mengalami UTI. Tiada bukti mengenai risiko mengalami kencing yang menyakitkan.

Apakah had bukti tersebut ?

Sebilangan besar kajian yang disertakan mempunyai kelemahan reka bentuk, tidak merekrut cukup peserta, atau tidak melaporkan cukup maklumat mengenai keputusan mereka. Semua ini bermaksud keyakinan kami kepada bukti adalah terhad.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 17 Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information