Soalan ulasan
Untuk menentukan keselamatan dan keberkesanan pembedahan untuk prolaps dinding faraj anterior.
Latar belakang
Prolaps organ pelvis berlaku sehingga 50% wanita yang telah melahirkan anak. Ini boleh berlaku di tempat yang berbeza dalam faraj; prolaps kompartmen anterior adalah paling sukar untuk dibaiki, dan kadar berulang adalah lebih tinggi daripada tempat faraj yang lain. Cabaran ini telah mengakibatkan penggunaan pelbagai teknik pembedahan dan cantuman untuk memperbaiki hasil pembedahan prolaps kompartmen anterior. Kami bertujuan untuk menilai intervensi pembedahan untuk prolaps kompartmen anterior.
Ciri-ciri kajian
Pengarang Cochrane menyertakan dalam ulasan ini 33 kajian rawak terkawal (RCT) menilai 3332 pembedahan untuk membandingkan pembaikan anterior tisu asli tradisional berbanding cantuman biologi (lapan kajian), mesh boleh diserap (tiga kajian), mesh kekal (polypropylene) (16 kajian) dan pembaikan paravaginal abdomen (dua kajian). Empat kajian membandingkan cantuman transvaginal berbanding cantuman transvaginal yang lain, dan empat percubaan menilai pembaikan tisu asli pada bahagian anterior dan/atau posterior faraj berbanding pembaikan cantuman. Bukti terkini sehingga 23 Ogos 2016.
Keputusan utama
Pembaikan cantuman biologi atau mesh boleh diserap memberikan kelebihan yang minimum berbanding dengan pembaikan tisu asli. Keputusan menunjukkan tiada bukti perbezaan antara cantuman biologi dan pembaikan tisu asli dalam kadar kesedaran prolaps atau pembedahan berulang untuk prolaps. Walau bagaimanapun, kadar prolaps anterior berulang adalah lebih tinggi selepas pembaikan tisu asli berbanding selepas sebarang cantuman biologi. Ini menunjukkan bahawa jika kesedaran prolaps selepas cantuman biologi berlaku pada 12% wanita, 7% hingga 23% akan menyedari prolaps selepas pembaikan tisu asli.
Mesh kekal menghasilkan kadar kesedaran prolaps yang lebih rendah, prolaps dinding anterior berulang dan pembedahan ulangan untuk prolaps berbanding dengan pembaikan tisu asli. Walau bagaimanapun, pembaikan tisu asli dikaitkan dengan pengurangan risiko inkontinensia kencing tekanan baru. Faedah lain pembaikan tisu asli termasuk mengurangkan kecederaan pundi kencing dan mengurangkan kadar pembedahan berulang untuk prolaps, tekanan inkontinensia kencing dan pendedahan mesh (sebagai hasil gabungan).
Kualiti bukti
Kualiti data yang berkaitan dengan pembaikan anterior tisu asli tradisional berbanding dengan kedua-dua cantuman biologi dan mesh kekal secara amnya adalah rendah hingga sederhana. Batasan utama adalah pelaporan kaedah kajian yang tidak lengkap termasuk penyembunyian peruntukan dan berat sebelah serta ketidaktepatan dalam hasil data. Data yang berkaitan dengan keberkesanan mesh boleh diserap mungkin tidak lengkap.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).