Soalan ulasan
Untuk mengkaji kesan penambahan valproate kepada satu ubat antipsikotik untuk rawatan skizofrenia dan penyakit seperti skizofrenia.
Latar belakang
Rawatan utama untuk skizofrenia adalah ubat antipsikotik. Walaupun rawatan ini, kira-kira 30% orang akan terus mengalami beberapa tanda penyakit. Ubat-ubatan lain kadangkala ditambah kepada ubat antipsikotik untuk cuba mengurangkan simptom yang dialami orang. Valproate adalah salah satu ubat sedemikian dan biasanya digunakan untuk merawat epilepsi, untuk menstabilkan mood pada orang yang mengalami gangguan bipolar dan untuk orang yang mempunyai kedua-dua skizofrenia dan gangguan mood (gangguan skizoafektif).
Ciri-ciri kajian
Ulasan sertakan 26 kajian, yang ditemui melalui carian elektronik pangkalan data yang berkaitan, dengan jumlah 2184 peserta. Semua kajian mengkaji keberkesanan valproate sebagai tambahan kepada ubatan antipsikotik. Kecuali dua kajian, kajian adalah kecil, dan kebanyakannya adalah jangka pendek dan kurang dilaporkan.
Keputusan utama
Data daripada kajian yang disertakan menunjukkan bahawa peserta yang menerima valproate ditambah dengan ubatan antipsikotik mempunyai tindak balas klinikal yang lebih baik, berbanding mereka yang mengambil ubatan antipsikotik dengan plasebo. Walau bagaimanapun, kelebihan ini hilang apabila kajian berkualiti rendah dikeluarkan daripada analisis. Valproate juga ditunjukkan berkesan dalam mengawal keterujaan dan keagresifan. Kebolehterimaan dan toleransi keseluruhan rawatan gabungan adalah serupa antara kumpulan rawatan dan tidak menyebabkan peningkatan berat badan, walau bagaimanapun, penambahan valproate menyebabkan sedasi dan pening yang lebih besar. Tiada kajian melaporkan kesan ke atas kualiti hidup.
Kualiti bukti
Bukti adalah terhad dan kesimpulan yang kukuh tidak boleh dibuat. Untuk hasil utama yang diminati, penulis ulasan menilai kualiti bukti sebagai berkualiti rendah atau sangat rendah , disebabkan isu metodologi dalam kajian yang diulas. Kebanyakan daripada mereka adalah kecil, jangka pendek dan tidak membutakan peserta atau kakitangan. Kajian rawak yang besar, dua buta dan jangka panjang perlu dijalankan untuk menentukan dengan betul kesan klinikal penambahan valproate kepada rawatan antipsikotik untuk penghidap skizofrenia.
Ringkasan ini ditulis oleh Ben Gray, Penyelidik Rakan Sebaya Kanan, Yayasan McPin. mcpin.org/
Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shaun Lee. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my