Merawat tekanan darah tinggi dengan ubat-ubatan untuk mencegah demensia pada masa depan atau masalah dengan ingatan dan pemikiran

Kenapa ulasan ini penting

Kajian pemerhatian yang mengikuti peserta selama bertahun-tahun menunjukkan bahawa tekanan darah tinggi dikaitkan dengan demensia kemudiannya atau masalah baru dengan ingatan dan pemikiran (gangguan kognitif). Adalah penting untuk menentukan apakah dengan merawat tekanan darah tinggi dapat mengurangkan risiko demensia dan masalah dengan ingatan dan pemikiran. Sudah ada bukti yang jelas untuk menyokong rawatan tekanan darah tinggi selepas strok. Bukti untuk merawat tekanan darah tinggi dengan ketiadaan strok adalah tidak begitu dipastikan ketika protokol kajian ini ditulis.

Penemuan utama dalam ulasan ini

Kami menyertakan 12 kajian, dengan jumlah 30,412 peserta, dalam ulasan ini. Merawat tekanan darah tinggi dengan ubat-ubatan boleh mengurangkan risiko demensia dan masalah dengan ingatan dan pemikiran, tetapi kami tidak dapat mengesahkan ini menggunakan data yang kami ada. Ini mungkin disebabkan oleh kekurangan dalam bukti yang ada.

Beberapa peserta mengalami kesan sampingan dari ubat-ubatan, seperti jatuh, yang menyebabkan mereka berhenti mengambil ubat. Ini juga merupakan pertimbangan yang penting.

Batasan ulasan ini

Kami tidak dapat menemui bukti untuk mengesahkan bahawa merawat tekanan darah tinggi dengan ubat-ubatan akan mencegah demensia pada masa depan atau masalah dengan ingatan dan pemikiran. Berdasarkan bukti-bukti yang ada, yang dapat kami katakan adalah kaedah yang digunakan dalam kajian yang kami lihat adalah tidak mencukupi untuk menjawab soalan ulasan kami. Secara amali, kami ingin mengetahui jika merawat tekanan darah tinggi pada orang pertengahan usia mengurangkan demensia dan masalah dengan ingatan dan pemikiran pada kemudian hari. Kajian-kajian ini adalah terlalu singkat jangka masanya untuk menjawab soalan ini. Ia cenderung dirancang untuk menyelidiki serangan jantung dan strok sebagai ukuran hasil, dengan ujian memori dan pemikiran ditambahkan, yang bermaksud ia tidak cenderung untuk memasukkan jumlah orang dengan masalah ingatan dan pemikiran yang diperlukan untuk menjawab soalan tersebut dengan pasti. Dalam kajian yang membandingkan ubat aktif dan plasebo (ubat tidak aktif), ramai orang dalam kumpulan plasebo akhirnya menerima ubat aktif yang semakin merumitkan keputusan.

Rawatan antihipertensi mungkin mencegah masalah baru dengan ingatan dan pemikiran, atau demensia, atau kedua-duanya, walau apapun penemuan ulasan ini. Untuk lebih yakin dengan kesimpulan kami, kami memerlukan kajian yang mempunyai kumpulan rawatan dan plasebo yang jelas berbeza, dan yang merawat peserta bermula pada usia yang lebih muda dan dengan susulan yang lebih lama.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Siti Shuhada binti Muhammad Sidik (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information