Pengembang plasma untuk pesakit sirosis dan asites (busung) besar yang telah dirawat dengan paracentesis.

Latar belakang

Pesakit dengan sirosis (parut tisu hati) boleh mengumpul cecair (asites) di dalam perut mereka dan cecair ini berkemungkinan sukar atau tidak mungkin untuk dirawati dengan diuretik (ubat yang meningkatkan pengumuhan air dan garam melalui kencing). Paracentesis perut, iaitu pelepasan cecair dari perut melalui jarum, boleh dilakukan Paracentesis boleh menyebabkan perubahan dalam keseimbangan antara peredaran darah dengan cecair perut dan ini akan membawa kepada disfungsi buah pinggang dan perubahan keseimbangan cecair dalam badan Kami telah mengkaji sama ada dengan memberi infusi cecair khas, iaitu pengembang plasma, boleh menghentikan perubahan-perubahan ini dan mengurangkan komplikasi dan kematian

Objektif

Untuk menilai manfaat dan kemudaratan sebarang jenis infusi cecair intravena (bertindak sebagai pengembang plasma) dalam pesakit sirosis dan asites yang dirawat dengan paracentesis.

Kaedah-kaedah ulasan dan kriteria

Bukti-bukti adalah terkini sehingga 22 Januari 2019.

Ulasan sistematik ini telah menilai peranan pengembang plasma yang telah dikaji dalam 27 percubaan yang melibatkan sejumlah 1592 orang peserta. Empat kajian telah membandingkan albumin dan satu kajian telah membandingkan infusi cecair asites melalui saluran intravena dengan tiada pengembang plasma. Dua puluh satu kajian telah membandingkan satu pengembang plasma seperti dextran, polygeline, ‘hydroxyethyl starch’, plasma beku segar, infusi cecair asites intravena, kristaloid, atau mannitol, dengan albumin. Satu kajian telah membandingkan infusi cecair asites melalui saluran intravena dengan polygeline. Hasil utama termasuklah kematian yang disebabkan oleh apa-apa sebab, kesan sampingan yang teruk; dan kualiti kehidupan yang berkaitan dengan kesihatan. Hasil sekunder termasuklah asites refraktori (iaitu asites yang tidak boleh dirawat dari segi perubatan); kerosakan buah pinggang; komplikasi-komplikasi lain yang disebabkan oleh sirosis hati seperti pendarahan gastrousus, ensefalopati hepatik (kemerosotan fungsi otak yang disebabkan oleh penyakit hati) atau jangkitan; dan kesan sampingan yang tidak serius.

Sumber pembiayaan kajian

Terdapat sepuluh kajian yang kelihatannya tidak dibiayai oleh industri; pembiayaan dua belas kajian telah dianggap tidak jelas; dan lima kajian telah dianggap dibiayai oleh industri atau institusi untuk keuntungan.

Hasil-hasil utama

Ulasan sistematik kami tidak dapat menunjukkan sebarang manfaat atau keburukan penggunaan pengembang plasma berbanding dengan tiada pengembang plasma atau dengan salah satu jenis pengembang plasma seperti dextran, polygeline, ‘hydoxyethyl starch’, infusi cecair asites melalui saluran intravena, kristaloid, atau mannitol berbanding dengan albumin, ke atas hasil utama mahupun sekunder.

Kepastian bukti

Data yang dinilai datang daripada beberapa kajian berjangka masa pendek yang kecil, berisiko tinggi untuk ralat sistematik (bias) dan juga berisiko tinggi untuk ralat rawak (kebetulan). Sehubungan dengan itu, kami menyimpulkan bahawa kepastian bukti bagi setiap hasil ulasan yang telah kami tentukan pada peringkat awal adalah sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information