Apakah isunya?
Keguguran kerap berlaku dalam kalangan wanita hamil tetapi kerapkali sukar untuk mengetahui faktor-faktor yang bertanggungjawab. Diet yang tidak sihat, tanpa vitamin yang cukup, telah dikaitkan dengan peningkatan risiko wanita kehilangan bayi mereka pada awal kehamilan. Adakah penambahan vitamin yang diambil oleh wanita sebelum hamil dan semasa hamil mengurangkan risiko keguguran spontan? Adakah penambahan menambahbaik hasil ibu, kelahiran dan bayi, dan adakah sebatang kesan sampingan?
Mengapa ini penting?
Penambahan vitamin sering disyorkan untuk wanita hamil dan wanita yang merancang untuk hamil. Memandangkan penggunaan meluas penambahan vitamin sebelum dan semasa hamil, adalah penting untuk mengkaji hubungan di antara penambahan vitamin dan hasil awal kehamilan, terutama kerana punca-punca keguguran tidak diketahui dan status nutrisi ibu boleh mempengaruhi perkembangan bayinya.
Apakah bukti yang kami temui?
Ulasan ini memasukkan 40 kajian rawak terkawal melibatkan 276,820 wanita dan 278,413 kehamilan. Memberi tambahan vitamin kepada wanita dengan sebarang vitamin tidak mengurangkan bilangan wanita yang keguguran. Walau bagaimanapun, risiko untuk kelahiran mati telah dikurangkan dalam kalangan wanita yang menerima multivitamin yang ditambah zat besi dan asid folik berbanding kumpulan yang hanya menerima zat besi dan folat. Walaupun jumlah kehilangan janin adalah lebih rendah bagi wanita yang diberi multivitamin tanpa asid folik dan multivitamin dengan atau tanpa vitamin A, penemuan tersebut adalah dari kajian yang melibatkan bilangan kecil wanita. Kajian-kajian juga, memasukkan kajian di mana kumpulan perbandingan termasuk wanita yang menerima sama ada vitamin A atau plasebo, oleh itu perlu ditafsir dengan berhati-hati .
Apakah maksudnya?
Mengambil vitamin tambahan sebelum hamil atau di awal kehamilan mungkin memberi manfaat; tetapi ulasan ini tidak menunjukkan cukup bukti pengambilan vitamin tambahan mencegah keguguran.
Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my