Mengapakah soalan ini penting?
Apabila orang mempunyai serangan COPD yang teruk, pernafasan mereka menjadi sangat sukar. Ini boleh menjadikan kegagalan pernafasan (kegagalan pernafasan hiperkapnik akut (AHRF)) yang sering memerlukan perubatan yang segera. Salah satu rawatan yang boleh diberikan adalah pernafasan sokongan (intubasi dan ventilasi mekanikal). Ini melibatkan penghantaran udara dan/atau oksigen melalui ventilator yang menyambungkan dengan tiub yang dimasukkan ke dalam kerongkong dan ke dalam paru-paru. Ini sudah pasti merupakan satu prosedur menyelamatkan nyawa bagi pesakit yang menghidapi eksarserbasi COPD yang mengancam nyawa, tetapi ia dikaitkan dengan beberapa kesan sampingan tidak diingini.
Ventilasi bukan invasif (NIV) melibatkan penghantaran pernafasan sokongan melalui ventilator yang bersambung ke topeng hidung atau topeng muka. NIV digunakan lebih kerap pada masa kini untuk membantu pesakit di hospital. Ulasan ini bertujuan untuk menentukan keberkesanan menambah NIV kepada rawatan biasa untuk kumpulan pesakit ini.
Bagaimana penyelidik menjawab soalan ini?
Penyelidik mengulas segala bukti yang sedia ada sehingga Januari 2017 mengenai kesan NIV digabungkan dengan penjagaan yang biasa berbanding dengan penjagaan yang biasa sahaja (tidak melibatkan ventilasi). Disebabkan sehingga 20% pesakit COPD yang mempunyai kegagalan pernafasan boleh mati akibat daripadanya, penyelidik melihat bilangan kematian sebagai hasil utama. Penyelidik juga melihat keperluan untuk intubasi dan masa yang dihabiskan di hospital.
Apakah yang penyelidik jumpai?
Penyelidik telah memasukkan maklumat daripada 17 ujian klinikal yang melibatkan seramai 1264 pesakit. Berbanding dengan penjagaan yang biasa dalam kumpulan pesakit ini, penyelidik mendapati bahawa NIV adalah lebih bermanfaat dalam mengurangkan kematian dan bilangan pesakit yang memerlukan intubasi. Secara puratanya, risiko kematian adalah berkurangan sebanyak 46% dan risiko memerlukan intubasi berkurangan sebanyak 65%. Pengulas memberikan taraf kualiti bukti bagi kedua-dua penemuan tersebut sebagai 'sederhana' (mengikut kriteria GRADE). Mereka dengan NIV menghabiskan purata masa tiga setengah hari kurang di hospital berbanding dengan yang tidak mengamalkannya.
Rumusan
Ulasan ini menyediakan bukti yang meyakinkan bagi menyokong penggunaan NIV sebagai strategi rawatan yang berkesan untuk pesakit-pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana eksarserbasi akut COPD dan kegagalan pernafasan.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.