Rawatan pra-kanser serviks (CIN) dengan agen anti-radang untuk merangsang regresi dan mencegah perkembangan kanser serviks

Latar belakang
Ulasan ini adalah kemas kini ulasan terbitan terdahulu di dalam Pangkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane 2014, Isu 4 mengenai agen anti-radang bukan steroid (NSAIDs) untuk merangsang regresi dan mencegah perkembangan neoplasia intraepitelium serviks (CIN). Neoplasia intraepitelium serviks (CIN) adalah keadaan pra-kanser serviks yang dikaitkan dengan HPV (papilomavirus manusia), yang boleh berlaku kepada sesiapa tetapi lazimnya dalam kalangan wanita muda yang ingin mengekalkan kesuburan dan rawatan sering melibatkan eksisi surgikal. CIN boleh berkembang kepada kanser serviks invasif. CIN dikenal pasti melalui saringan dan boleh dirawat dengan pembedahan serviks sama ada pembuangan dengan eksisi surgikal atau pemusnahan sel-sel yang melapisi serviks dengan terapi laser, pemanasan, atau pembekuan. Walaupun ini berkesan dalam kebanyakan kes, pembedahan boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini serta-merta, seperti perdarahan dan jangkitan, atau komplikasi kemudian termasuk kesukaran dengan haid akibat parut serviks dan kelahiran awal (pramatang).

NSAID telah didapati dapat mencegah perkembangan kanser usus besar dan organ lain, tetapi dengan beberapa kesan sampingan yang tidak diingini terutama kepada jantung dan saluran darah. Walaupun rofecoxib, yang digunakan di dalam salah satu kajian tersebut, telah ditarik balik dari pasaran pada tahun 2004, ia mungkin dapat menjelaskan kemungkinan rawatan dengan NSAID lain.

Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan NSAID untuk wanita dengan CIN boleh menggalakkan regresi atau mencegah progresi kepada kanser serviks tanpa risiko atau kesan sampingan.

Matlamat ulasan
Untuk mengenal pasti kegunaan merawat CIN dengan ubat-ubatan anti-radang bukan steroid (NSAIDs) seperti celecoxib untuk regresi penemuan abnormal dan mengelakkan prosedur surgikal.

Ciri-ciri kajian
Kami mengenal pasti tiga kajian rawak sehingga Ogos 2017, dengan 171 wanita berusia lebih 18 tahun, dengan CIN sederhana atau teruk. Kajian-kajian dijalankan dari Jun 2005 hingga April 2012, Jun 2002 hingga Oktober 2003, dan Mei hingga Oktober 2004. Salah satu kajian dihentikan sebelum selesai. Wanita diberikan sama ada celecoxib atau rofecoxib berbanding plasebo (tablet gula) harian melalui mulut selama tiga hingga enam bulan.

Keputusan utama
Dengan penambahan kajian ketiga untuk ulasan ini, kini terdapat bilangan pesakit yang mencukupi dalam ulasan untuk menyimpulkan bahawa NSAID mempunyai kesan minimum berbanding plasebo dalam menyebabkan regresi CIN. Tiada pesakit yang progres kepada kanser serviks invasif, dan secara keseluruhannya, ubat tersebut diterima baik berbanding plasebo.

Kualiti bukti
Kajian-kajian tersebut dilihat telah dijalankan dengan baik. Terdapat beberapa soalan berkaitan dengan kualiti bukti yang berkaitan dengan penyembunyian dan wanita-wanita yang berhenti daripada kajian sebelum selesai ubat-ubatan yang diserahkan. Oleh itu, kami membuat kesimpulan bahawa kepastian (kualiti) bukti adalah sederhana. Tiada maklumat yang cukup untuk menilai ketepatan pelaporan maklumat. Ada kemungkinan terdapat kajian lain yang tidak lengkap dan tidak dilaporkan yang belum dikenalpasti.

Kesimpulan
Kesusasteraan sedia ada pada masa ini menunjukkan tiada data yang meyakinkan untuk mencadangkan NSAID sebagai rawatan untuk CIN.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information