Adakah pembuangan bulu sebelum pembedahan dapat mencegah jangkitan setelah pembedahan?

Mesej-mesej Utama?

Dibandingkan dengan tanpa pembuangan bulu:

· kemungkinan terdapat lebih banyak jangkitan kawasan pembedahan apabila bulu dibuang melalui kaedah mencukur dengan pisau cukur;

· pembuangan bulu dengan mesin gunting rambut dan krim mungkin hanya membawa sedikit perbezaan pada jumlah jangkitan;

Mesin gunting rambut dan krim pembuangan bulu mungkin menyebabkan pengurangan jangkitan berbanding bercukur menggunakan pisau cukur.

Pembuangan bulu pada hari pembedahan dan bukannya sehari sebelum pembedahan mungkin sedikit sebanyak dapat mengurangkan jumlah jangkitan.

Mengapakah bulu perlu dibuang sebelum pembedahan?

Sebelum sesuatu intervensi pembedahan, adalah kebiasaan untuk membuang bulu dari kawasan badan yang akan dibedah. Bulu boleh dibuang dengan pelbagai kaedah, termasuklah menggunakan mesin gunting rambut, pisau cukur, atau krim pembuangan bulu.

Bulu dibuang bagi mengelakkan masalah semasa dan selepas pembedahan, misalnya ketika menjahit luka atau memakaikan balutan. Namun, beberapa kajian telah mendakwa bahawa pembuangan bulu boleh menyebabkan jangkitan selepas pembedahan dan harus dielakkan.

Apakah yang hendak kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pembuangan bulu sebelum pembedahan:

· menyebabkan atau mencegah jangkitan;

· mencegah komplikasi-komplikasi luka, seperti luka pada kulit atau pembukaan semula luka yang telah dijahit;

· memberi kesan pada tempoh masa seseorang tinggal di hospital setelah menjalani pembedahan; dan

· mempunyai implikasi kos.

Kami juga berminat untuk mengetahui sama ada mana-mana kaedah pembuangan bulu atau jangka waktu pembuangan bulu lebih baik daripada yang lain.

Apakah yang telah kami lakukan?

Pertama sekali, kami membuat pencarian untuk mencari kajian yang membandingkan:

· pembuangan bulu atau tanpa pembuangan bulu; atau

· pelbagai kaedah dan jangka waktu pembuangan bulu.

Kami kemudiannya membandingkan hasil-hasil yang dilaporkan dan merumuskan bukti kajian dari semua kajian. Akhir sekali, kami menilai keyakinan kami terhadap bukti kajian, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menemui 25 kajian yang melibatkan seramai 8919 orang.

Sepuluh kajian membandingkan tanpa pembuangan bulu dengan pembuangan bulu, menggunakan:

· mesin gunting rambut (3 kajian);

· cukuran menggunakan pisau cukur (8 kajian, 7 di antaranya menyediakan bukti yang boleh digunapakai): atau

· krim pembuangan bulu (1 kajian).

Tujuh kajian membandingkan penggunaan pisau cukur dengan penggunaan mesin gunting rambut, dan 10 kajian membandingkan penggunaan pisau cukur dengan penggunaan krim (sembilan daripada 10 kajian tersebut menyediakan bukti kajian yang boleh digunapakai).

Satu kajian membandingkan pembuangan bulu sehari sebelum pembedahan berbanding pembuangan bulu pada hari pembedahan.

Apakah hasil dari bukti kajian?

Pembuangan bulu dibandingkan dengan tanpa pembuangan bulu

· Pembuangan bulu menggunakan mesin gunting rambut dan krim hanya boleh membawa sedikit perbezaan dalam jumlah jangkitan di kawasan pembedahan.

· Pembuangan bulu menggunakan pisau cukur berkemungkinan membawa lebih banyak risiko jangkitan berbanding tanpa pembuangan bulu.

Sama ada bulu dibuang dengan pisau cukur atau tidak dibuang hanya boleh membawa sedikit perbezaan dalam tempoh masa tinggal di hospital (1 kajian).

Perbandingan kaedah-kaedah pembuangan bulu yang berbeza

· Mesin gunting rambut mungkin menyebabkan kurang jangkitan dan kecederaan kulit berbanding pisau cukur.

· Krim menyebabkan kurang jangkitan dan kecederaan kulit berbanding pisau cukur.

Jangka waktu pembuangan bulu

Sama ada bulu dibuang pada hari pembedahan atau sehari sebelum pembedahan sedikit sebanyak dapat mengurangkan bilangan jangkitan (1 kajian).

Apakah yang masih belum kita ketahui?

Oleh sebab kekurangan kajian yang mantap, kami tidak mengetahui:

· Sekiranya membuang bulu akan mempengaruhi komplikasi dan kos luka jika dibandingkan dengan tanpa membuang bulu;

· Sekiranya kaedah pembuangan bulu yang berlainan memberi kesan yang berbeza terhadap tempoh tinggal di hospital, atau pada kos; dan

· Sekiranya jangka waktu pembuangan bulu mempengaruhi komplikasi luka, tempoh tinggal di hospital, atau kos.

Seberapa mutakhirkah ulasan ini?

Bukti kajian dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini pada November 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Abu Emmil Qawarizmi Bin Abu Sofian. Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (masykurin@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information