Termoterapi mikro transurethral untuk gejala saluran kencing pada lelaki dengan hiperplasia prostat benign

Soalan ulasan

Adakah termoterapi gelombang mikro transurethral (TUMT) memperbaiki gejala kencing yang mengganggu tanpa kesan sampingan yang tidak diingini pada lelaki dengan prostat yang membesar?

Latar belakang

Prostat yang membesar boleh menyebabkan gejala saluran kencing yang mengganggu seperti sering membuang air kecil pada waktu siang atau malam, mempunyai aliran air kencing yang lemah, dan mempunyai perasaan tidak mengosongkan pundi kencing sepenuhnya. Apabila gaya hidup berubah (seperti minum kurang cecair) atau ubat-ubatan tidak membantu, lelaki boleh memilih untuk menjalani pembedahan, seperti penyingkiran prostat transurethral. Namun, prosedur ini boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini, seperti masalah ereksi dan ejakulasi, atau memerlukan rawatan semula. Ulasan ini melihat pada keputusan termoterapi gelombang mikro transurethral, yang merupakan prosedur alternatif, kurang invasif yang menggunakan tenaga gelombang mikro untuk mengurangkan tisu prostat.

Ciri-ciri kajian
Kami tidak menemui kajian yang membandingkan termoterapi gelombang mikro transurethral dengan rawatan lain yang lebih baru dan kurang invasif untuk keadaan ini.

Kami menemui 16 kajian dengan 1919 lelaki yang membandingkan termoterapi gelombang mikro transurethral dengan prosedur simulasi (peserta diyakinkan bahawa mereka menerima rawatan, sedangkan pada hakikatnya, mereka tidak) atau dengan pembedahan tradisional (penyingkiran prostat transurethral (TURP)). Purata umur peserta adalah 69 tahun, dan kebanyakannya mempunyai gejala kencing yang mengganggu pada tahap sederhana.

Keputusan utama

Berbanding dengan pembedahan tradisional (TURP), termoterapi gelombang mikro transurethral mungkin mengakibatkan sedikit atau tidak ada perbezaan dalam gejala kencing pada susulan jangka pendek, tetapi kami tidak pasti akan kesan jangka panjangnya. Mungkin ada sedikit atau tidak ada perbezaan dalam kualiti hidup atau masalah dengan ereksi antara intervensi ini bagi kedua-dua jangka pendek dan jangka panjang. Prosedur ini mungkin mengakibatkan kurang kesan sampingan yang serius dan masalah ejakulasi berbanding pembedahan. Namun, ia mungkin mengakibatkan peningkatan keperluan untuk rawatan semula (termasuk pembedahan).

Berbanding dengan prosedur yang disimulasikan, termoterapi gelombang mikro transurethral mungkin memperbaiki gejala kencing dan perlunya rawatan semula pada susulan jangka pendek (kurang dari 12 bulan). Rawatan ini mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam kualiti hidup. Kami sangat tidak pasti sama ada kesan sampingan tidak diingini yang serius, termasuk masalah dengan ereksi dan ejakulasi, adalah lebih biasa.

Hasil kajian ini dikemas kini sehingga 31 Mei 2021.

Kepastian bukti

Kepastian bukti untuk hasilnya berkisar kebanyakannya antara sederhana hingga rendah kerana kekurangan dalam bagaimana kajian dijalankan dan saiz kajian yang kecil. Ini bermaksud bahawa kami mempunyai keyakinan sederhana atau terhad terhadap hasilnya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek, Pelajar Pascasiswazah (IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information