Latar belakang
Epilepsi adalah gangguan sawan berulang. Walaupun ramai orang akan mencapai bebas sawan dengan satu ubat antiepileptik, sesetengah mungkin memerlukan ubat multipel untuk cuba kurangkan bilangan sawan yang dialami. Orang-orang ini dikatakan mempunyai epilepsi rintang ubat.
Matlamat ulasan
Clobazam adalah ubat antiepileptik. Di sini, kami menilai bukti dari kajian-kajian perubatan untuk menentukan keberkesanan clobazam dalam mengurangkan bilangan sawan ketika diguna sebagai rawatan tambahan oleh orang yang menghidap epilepsi rintang ubat.
Keputusan
Kami menemui empat kajian yang menilai clobazam sebagai rawatan tambahan untuk epilepsi rintang ubat. Kajian-kajian ini melibatkan sejumlah 197 peserta. Dua kajian melaporkan lebih dari separuh orang yang diberi clobazam mencapai 50% penurunan bilangan sawan mereka. Tiga kajian melaporkan berapa ramai orang yang bebas sawan semasa mengambil clobazam. Secara keseluruhan, kira-kira 15% orang bebas sawan apabila mengambil clobazam, berbanding 0% apabila mereka diberi plasebo (ubat palsu dan tidak aktif yang tidak seharusnya berkesan untuk epilepsi). Keempat-empat kajian tersebut melaporkan berapa ramai orang yang menarik diri dari rawatan semasa kajian. Lebih ramai orang menarik diri dari kajian apabila menerima clobazam (17 daripada 197 orang) berbanding apabila menerima plasebo (12 dari 197 orang), tetapi kadar orang yang menarik diri masih rendah secara keseluruhan. Clobazam dikaitkan dengan kesan sampingan, terutamanya mengantuk.
Keempat-empat kajian adalah berjangka masa pendek. Ia menggunakan pelbagai kaedah, seperti tempoh rawatan yang berbeza, dan berkualiti rendah. Keputusan menunjukkan clobazam mengurangkan frekuensi sawan bagi orang dengan epilepsi fokal rintang ubat (epilepsi yang berasal dari satu kawasan otak), tetapi tiada cukup data untuk menentukan sama ada clobazam sama berkesan untuk epilepsi umum (epilepsi yang melibatkan seluruh otak). Kualiti bukti yang sangat rendah dari keempat-empat kajian tersebut bermakna kami sangat tidak pasti sama ada penemuan itu tepat dan, oleh itu, ia mesti diambil dan diaplikasi dengan berhati-hati.
Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2018.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.