Terapi mampatan untuk rawatan sindrom pasca trombosis dengan tahap keterukan ringan hingga sederhana

Latar belakang

Trombosis vena dalam (DVT) berlaku apabila klot darah terbentuk dalam vena betis. Klot tersebut boleh terpisah dan berpotensi menyebabkan penyumbatan serius dalam saluran darah. Orang yang mempunyai DVT boleh mendapat sindrom pasca trombosis (PTS). Penyakit ini bercirikan dengan masalah-masalah seperti sakit betis, buku lali bengkak, dan kulit mengeras nyahwarna. Gejala tersebut diburukkan dengan berdiri atau duduk yang berpanjangan, dan boleh membataskan gaya hidup dan aktiviti sehari-hari. Dalam kes yang teruk, ulser vena, luka terbuka yang tidak sembuh, juga boleh terjadi. Memakai pembalut mampatan atau sarung kaki mampatan elastik yang bersenggat (GECS) selepas rawatan awal penipisan darah (antikoagulan) untuk DVT telah digunakan untuk mengurangkan kemungkinan mendapat PTS dan mengurangkan gejala. Dengan bengkak kaki yang teruk (edema), sebuah peranti atau mesin boleh digunakan untuk meletakkan tekanan pada kaki untuk memperbaiki peredaran darah (peranti mampatan mekanikal atau peranti mampatan pneumatik berjeda). Terdapat kajian yang terhad berkenaan keberkesanan terapi mampatan untuk pencegahan atau rawatan PTS. Sebagai akibatnya, doktor klinikal dan garis panduan berbeza dalam penilaian mereka tentang penggunaan terapi mampatan semasa rawatan DVT dan rawatan PTS.

Ciri-ciri dan hasl-hasil utama kajian

Para pengarang ulasan telah mengenalpasti empat kajian, dengan 116 peserta, yang mengkaji keberkesanan terapi mampatan untuk PTS (carian terkini pada 2 Julai 2018). Dua kajian mengkaji kesan GECS. Satu kajian menunjukkan pembaikan dalam gejala-gejala PTS dan satu menunjukkan tiada manfaat. Dua kajian lain mengkaji kesan peranti mampatan pneumatik berjeda. Kedua-duanya melaporkan pembaikan untuk tahap keterukan PTS. Satu kajian menilai kesan-kesan sampingan dan kualiti hidup. Walaupun 9% daripada peserta mengalami kesan sampingan seperti bengkak kaki, kerengsaan, pendarahan permukaan, dan kegatalan kulit, kualiti hidup mendapat hasil yang positif. Tiada satu kajian pun yang menilai atau melaporkan tentang kepuasan pesakit atau kadar pematuhan.

Kebolehpercayaan bukti

Bukti untuk penggunaan peranti GECS atau mampatan pneumatik berjeda berbanding dengan kawalan untuk rawatan tahap keterukan PTS mempunyai kebolehpercayaan kepastian sangat rendah dan rendah. Ini disebabkan oleh keputusan yang bercanggah, kajian kecil dengan tempoh pendek, dan perbezaan dari segi kajian tersebut mengukur hasil kajian. Bukti terhad boleh didapati untuk kesan sampingan, kepuasan pesakit, kualiti hidup, dan pematuhan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nor Faezah Binti Zainudin (RCSI & UCD Malaysia Campus (sebelum ini dikenali sebagai Penang Medical College)). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi faezah@ms.pmc.edu.my. Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Tools
Information