Adakah lebih baik mengambil ubat mengurangkan tekanan darah pada waktu pagi atau petang untuk merawat tekanan darah tinggi?

Mesej utama

— Mungkin ada sedikit hingga tiada perbezaan dalam kematian atas sebarang sebab antara pengambilan ubat mengurangkan tekanan darah pada waktu pagi atau petang, tetapi kami tidak pasti dengan keputusannya. Perbezaan pada kesan yang tidak diingini adalah tidak diketahui.

— Mengambil ubat mengurangkan tekanan darah pada waktu petang mungkin memberikan kawalan tekanan darah yang lebih baik daripada memberikannya pada waktu pagi dalam tempoh 24 jam, tetapi kami tidak yakin dengan keputusannya.

Apakah tekanan darah tinggi?

Tekanan darah tinggi (hipertensi) adalah keadaan di mana tekanan di dalam arteri anda adalah 130 mmHg atau lebih apabila jantung anda berkontraksi, atau 80 mmHg atau lebih apabila jantung anda dalam keadaan santai, atau kedua-duanya. Penyebab tekanan darah tinggi mungkin tidak jelas atau disebabkan oleh beberapa penyakit seperti penyakit buah pinggang. Individu dengan penyakit tekanan darah tinggi biasanya tidak mempunyai gejala, tetapi mereka berisiko mengalami serangan jantung, angin ahmar dan penyakit buah pinggang.

Bagaimana tekanan darah tinggi dirawat?

Terdapat beberapa cara untuk membantu mengurangkan tekanan darah tinggi anda.

— Mengambil ubat mengurangkan tekanan darah.

— Kurangkan berat badan (jika anda mempunyai berat badan berlebihan).

— Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari pada kebanyakan hari dalam seminggu.

— Pilih diet kurang garam dan lemak, dan kaya dengan buah-buahan dan sayur-sayuran.

— Kurangkan pengambilan alkohol (jika anda minum lebih daripada dua minuman beralkohol setiap hari).

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pengambilan ubat mengurangkan tekanan darah pada waktu petang memberikan keputusan yang lebih baik daripada mengambilnya pada waktu pagi untuk menurunkan kadar kematian, kesan yang tidak diingini pada jantung dan saluran darah, hasil yang tidak diingini secara keseluruhan dan tahap tekanan darah.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan pengambilan ubat mengurangkan tekanan darah pada waktu petang dengan mengambilnya pada waktu pagi dalam individu dengan tekanan darah tinggi tanpa sebab yang diketahui. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 25 kajian yang melibatkan 3016 individu dengan tekanan darah tinggi tanpa sebab yang diketahui yang melaporkan keputusan selepas tiga hingga 26 minggu rawatan dengan ubat mengurangkan tekanan darah.

Keputusan utama

Mungkin ada sedikit hingga tiada perbezaan dalam kadar kematian dari semua sebab dan hasil keseluruhan yang tidak diingini, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti. Pengambilan ubat mengurangkan tekanan darah pada waktu petang mungkin memberi kawalan tekanan darah tinggi yang sedikit lebih baik berbanding dengan memberikannya pada waktu pagi dalam tempoh 24 jam, tetapi kami tidak yakin dengan keputusannya. Tiada kajian yang melaporkan kesan yang tidak diingini pada jantung dan saluran darah.

Apakah batasan bukti?

Beberapa faktor mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti. Bukti tidak melibatkan kebanyakan orang berkulit hitam dan orang Asia, individu yang berisiko untuk hasil yang tidak diingini, individu yang mengambil lebih daripada satu jenis ubat mengurangkan tekanan darah, individu dengan tekanan darah tinggi disebabkan oleh penyakit tertentu dan pekerja shift. Di samping itu, tempoh kajian adalah kurang dari enam bulan. Terdapat sangat sedikit kajian untuk memastikan keputusan hasil kami. Ada kemungkinan bahawa individu yang terlibat dalam kajian menyedari rawatan yang mereka terima, data penting yang hilang semasa kajian, dan tidak semua kajian memberikan data tentang semua yang kami minati. Akhirnya, keputusan adalah sangat tidak konsisten merentasi pelbagai kajian.

Kurangnya keyakinan kami dalam keputusan bermaksud penyelidikkan lanjut mungkin mengubah keputusan ulasan ini.

Sejauh manakan bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Jun 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information