Pelbagai cara pemberian antibiotik untuk menghapuskan jangkitan Pseudomonas aeruginosa dalam kalangan pesakit fibrosis sistik

Mesej utama

- Fibrosis sistik (CF) adalah penyakit yang diwarisi di mana saluran pernafasan sering menjadi tersumbat dengan lendir, dan pesakit CF lebih berkemungkinan untuk mendapat jangkitan paru-paru yang mengakibatkan lebih banyak kerosakan pada paru-paru.

- Pseudomonas aeruginosa ( P aeruginosa ) sering menjadi punca jangkitan dan sukar untuk disingkirkan; antibiotik adalah rawatan utama, tetapi terdapat banyak antibiotik yang berbeza, dan ia boleh diberikan dengan pelbagai cara.

- Antibiotik yang disedut mungkin lebih baik daripada tiada rawatan, yang membolehkan kebanyakan pesakit kekal bebas daripada P aeruginosa selepas sebulan.

- Nampaknya terdapat sedikit perbezaan dalam rawatan lain yang kami bandingkan berkenaan sebaik mana rawatan-rawatan ini menyingkirkan P aeruginosa dari paru-paru.

Apakah itu fibrosis sistik?

CF adalah penyakit diwarisi paling biasa yang membataskan kehidupan. Lendir melekit terkumpul di dalam paru-paru pesakit CF, yang menyebabkan kesukaran bernafas dan boleh membawa kepada jangkitan paru-paru. Jangkitan paru-paru ini boleh mengakibatkan kerosakan lanjut pada paru-paru dan membawa kepada kegagalan pernafasan dan kematian. Kuman yang dipanggil P aeruginosa sering menjadi punca jangkitan dan ia sukar dirawat dengan jayanya apabila ia telah bertahan lebih lama daripada enam bulan.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin membandingkan gabungan berbeza antibiotik sedutan, oral dan intravena (IV) untuk menghapuskan P aeruginosa dalam pesakit CF, untuk melihat sama ada sebarang rawatan tunggal berkesan dan lebih menjimatkan kos.

Apa yang kami temui?

Ulasan ini memasukkan 11 kajian dengan sejumlah 1449 orang pesakit CF, dari sebarang usia atau jantina, yang mempunyai penyakit paru-paru ringan hingga teruk. Kajian-kajian ini berlangsung dari 28 hari hingga 27 bulan. Kami tidak dapat menggabungkan banyak keputusan kerana kajian-kajian menggunakan rawatan yang berbeza. Terdapat 10 perbandingan berbeza untuk rawatan antibiotik: tiga kajian membandingkan antibiotik yang disedut dengan plasebo (rawatan palsu); dua kajian membandingkan antibiotik yang disedut untuk tempoh masa yang berbeza; dua kajian membandingkan tobramycin yang disedut dengan atau tanpa antibiotik oral bergantung kepada bagaimana jangkitan dikesan; dua kajian membandingkan antibiotik yang disedut serta antibiotik oral dengan antibiotik yang disedut serta plasebo; satu kajian membandingkan dua antibiotik yang disedut yang berlainan serta antibiotik oral; dan satu kajian membandingkan antibiotik IV dengan antibiotik oral.

Kebanyakan kajian menunjukkan sebaik mana rawatan menyingkirkankan P aeruginosa dan juga bagaimana rawatan mempengaruhi fungsi paru-paru, kuman-kuman lain, eksaserbasi yang bertambah buruk, dan kesan sampingan.

Keputusan utama

Tiga kajian kecil (melibatkan 89 orang) yang merawat jangkitan awal menunjukkan bahawa selepas sebulan, antibiotik yang disedut adalah lebih baik daripada tiada rawatan dan menyingkirkan P aeruginosa untuk kebanyakan pesakit, tetapi keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah.

Berkemungkinan terdapat sedikit perbezaan dalam rawatan lain berkenaan sebaik mana rawatan-rawatan ini menyingkirkan P aeruginosa daripada paru-paru, walaupun kami mendapati bahawa antibiotik yang disedut, secara tunggal atau dengan antibiotik oral, adalah lebih baik daripada tiada rawatan untuk jangkitan awal Pseudomonas aeruginosa. Kajian berkenaan IV ceftazidime dengan tobramycin berbanding dengan ciprofloxacin oral juga menunjukkan yang kedua-dua kumpulan tidak lebih baik dalam menyingkirkan P aeruginosa, tetapi kami lebih yakin dengan keputusan dan ini bermakna bahawa ia mungkin sama berkesan untuk merawat dengan antibiotik oral.

Apakah batasan bukti?

Beberapa kajian telah dijalankan sehingga 30 tahun lalu dan keputusannya mungkin tidak terpakai hari ini, dan beberapa kajian adalah kecil. Kebanyakan kajian adalah agak singkat, jadi kami tidak dapat menunjukkan sama ada rawatan membuatkan pesakit CF berasa lebih baik atau hidup lebih lama. Disebabkan rawatan yang digunakan dalam kebanyakan kajian, ianya mungkin mudah untuk peserta mengagak rawatan manakah yang mereka terima, yang mungkin mempengaruhi sesetengah keputusan. Dua kajian dibiayai oleh industri farmaseutikal. Penyelidikan lanjut diperlukan untuk melihat sama ada menghapuskan jangkitan sepenuhnya akan meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup pesakit CF dan untuk menentukan gabungan antibiotik manakah yang terbaik untuk menghapuskan P aeruginosa .

Secara keseluruhannya, keyakinan kami terhadap bukti adalah sederhana hingga sangat rendah, jadi penyelidikan lanjut mungkin mengubah keyakinan kami terhadap keputusan. Walau bagaimanapun, kami mempunyai keyakinan lebih tinggi terhadap satu kajian yang diterbitkan baru-baru ini, yang bermakna kami boleh lebih pasti dengan keputusannya.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Kajian yang kami laporkan adalah yang paling terkini yang kami temui. Kali terakhir kami mencari bahan bacaan adalah pada April 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information