Soalan ulasan
Adakah memberi makan bayi pramatang dengan formula yang diperkayakan dengan nutrien (tenaga tambahan dan protein) berbanding formula standard meningkatkan kadar pertumbuhan dan meningkatkan perkembangan?
Latar belakang
Formula standard (direka untuk bayi cukup bulan) tidak boleh memberi kuantiti nutrien yang mencukupi kepada bayi pramatang untuk menyokong pertumbuhan dan perkembangan yang optimum. Formula yang diperkaya dengan nutrien (mengandungi protein tambahan dan tenaga dari karbohidrat atau lemak dan nutrien lain) mempunyai kira-kira 20% kandungan nutrien yang lebih tinggi daripada formula standard. Memberi makan bayi pramatang, terutamanya bayi yang sangat pramatang, dengan formula yang diperkaya nutrien berpotensi meningkatkan pengambilan nutrien dan kadar pertumbuhan, dan berpotensi meningkatkan tumbesaran.
Ciri-ciri kajian
Kami menemui tujuh kajian; kebanyakan adalah kecil (melibatkan 590 bayi secara keseluruhan), dan ada yang cenderung kepada berat sebelah.
Keputusan utama
Formula yang diperkaya dengan nutrien berbanding formula standard untuk bayi pramatang tidak memendekkan masa yang diambil untuk mendapatkan semula berat badan kelahiran tetapi dikaitkan dengan kadar pertambahan berat dan pertumbuhan kepala yang lebih tinggi (walaupun tidak pada pertambahan panjang badan) semasa berada di unit neonatal selepas kelahiran. Data adalah terhad tentang hasil pembesaran dan perkembangan yang menilai bayi sehingga umur setahun lebih dan data ini tidak menunjukkan kesan yang konsisten. Tiada bukti yang menunjukkan lain-lain faedah yang berpotensi atau kemudaratan kepada rumusan yang diperkaya dengan nutrien, termasuk kesan ke atas pemakanan atau masalah usus.
Kesimpulan
Walaupun data kajian menunjukkan formula dengan pelbagai nutrien meningkatkan kadar pembesaran bayi pramatang semasa awal kemasukan ke dalam hospital, ia tidak menunjukkan kesan ke atas pembesaran dan perkembangan untuk jangkamasa panjang. Kajian rawak lanjut diperlukan untuk menyelesaikan ketidaktentuan ini.
Diterjemahkan oleh Fradella Sandy Binti Telasai. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my