Pentoxifylline sebagai rawatan sepsis dan enterokolitis nekrotik di kalangan neonat

Soalan ulasan

Apakah faedah dan risiko pentoxifylline (PTX) untuk merawat jangkitan dan keadaan usus (enterokolitis nekrotik, NEC) di kalangan bayi yang baru lahir sehingga 28 hari? 

Mesej utama

Untuk merawat jangkitan di kalangan bayi yang baru lahir, PTX dengan antibiotik berkesan dalam mengurangkan kematian dan tempoh tinggal di hospital tanpa kesan buruk. Tetapi, keyakinan kami terhadap penemuan ini adalah rendah kerana bilangan kajian yang kecil, yang mana kesemuanya adalah berkualiti rendah.

• Kami tidak menemui sebarang kajian tentang penggunaan PTX dalam merawat penyakit usus (NEC) yang teruk.

• Kami memerlukan kajian yang lebih baik dan lebih besar untuk memahami sepenuhnya jika PTX bermanfaat tanpa risiko sebagai rawatan untuk jangkitan dan NEC di kalangan bayi yang baru lahir. 

Apakah masalahnya?

Jangkitan bakteria atau kulat dalam darah dan NEC adalah keadaan di mana terdapat kecederaan pada saluran penghadaman serta jangkitan yang dilihat pada bayi pramatang. Jangkitan dan NEC dirawat dengan antibiotik, tetapi masih ada segelintir bayi yang meninggal dunia dan menderita akibat komplikasi.  

Bagaimana memperbaik rawatan untuk jangkitan atau NEC di kalangan bayi yang baru lahir? 

Selain antibiotik, mengubah tindak balas badan terhadap jangkitan (keradangan) boleh mengurangkan kematian dan komplikasi.  Pentoxifylline mengubah tindak balas badan terhadap jangkitan atau NEC dan mungkin mempunyai kesan yang bermanfaat. 

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan PTX berserta dengan antibiotik dapat mengurangkan kematian dan komplikasi seperti penyakit paru-paru, penyakit mata, tempoh tinggal di hospital, dan tempoh menggunakan mesin pernafasan. Kami juga ingin mengetahui sama ada penggunaan PTX selamat tanpa kesan buruk.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyiasat sama ada: 

• PTX dengan antibiotik berbanding plasebo (rawatan palsu) dengan antibiotik atau antibiotik sahaja;

• PTX dengan antibiotik berbanding PTX dengan antibiotik dan ubatan lain seperti imunoglobulin; atau

• PTX dengan antibiotik berbanding ubatan lain seperti imunoglobulin dengan antibiotik

berkesan dalam mengurangkan kematian atau komplikasi lain tanpa kesan buruk di kalangan bayi yang baru lahir dengan jangkitan atau NEC. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menjumpai enam kajian yang layak (416 bayi yang baru lahir sebagai peserta) yang menilai PTX dengan antibiotik di kalangan bayi baru lahir yang mengalami jangkitan.

Keputusan utama

1. Kami mendapati bahawa PTX dalam kombinasi dengan antibiotik boleh mengurangkan kematian dan tempoh tinggal di hospital di kalangan bayi baru lahir yang mengalami jangkitan. 

Tidak jelas sama ada rawatan pentoxifylline mempunyai sebarang kesan terhadap penyakit paru-paru, penyakit mata, kecederaan usus atau kecederaan otak akibat jangkitan. 

Kajian yang dikenal pasti tidak melaporkan sebarang kesan buruk akibat PTX. 

Tiada kajian lengkap yang melihat kepada rawatan PTX di kalangan bayi baru lahir dengan NEC. 

2. Apabila PTX dibandingkan dengan ubatan lain seperti imunoglobulin berserta dengan PTX, tidak jelas sama ada rawatan mempengaruhi kematian atau kecederaan usus. Kesan rawatan terhadap paru-paru, mata, atau kecederaan otak tidak dikaji.

3. Apabila PTX dibandingkan dengan ubatan lain seperti imunoglobulin, tidak jelas sama ada rawatan mempengaruhi kematian atau kecederaan usus. Kesan rawatan terhadap paru-paru, mata, atau kecederaan otak tidak dikaji.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap penemuan bahawa PTX berserta dengan antibiotik mengurangkan kematian dan tempoh tinggal di hospital di kalangan bayi baru lahir yang mengalami jangkitan. 

Tiga faktor utama mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti. Pertamanya, enam kajian yang dikenal pasti adalah kecil dengan sedikit peserta. Keduanya, empat daripada enam kajian dijalankan dengan lemah. Oleh itu, keputusan kajian lanjutan mungkin berbeza dengan hasil ulasan ini.

Kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah mengenai kesan:

• PTX berbanding ubatan lain seperti imunoglobulin berserta dengan PTX; atau

• PTX berbanding ubatan lain seperti imunoglobulin

terhadap kematian dan kecederaan usus kerana hanya terdapat dua kajian dengan sedikit peserta, dan kajian dijalankan dengan lemah. Kesan rawatan-rawatan tersebut pada penyakit paru-paru, penyakit mata, atau kecederaan otak akibat jangkitan tidak dikaji.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat Julai 2022.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Tools
Information