Intervensi-intervensi untuk mencegah hipotermia semasa kelahiran bayi pramasa dan/atau berat lahir rendah

Soalan ulasan: Apakah yang diketahui mengenai keberkesanan dan keselamatan intervensi yang direka untuk mencegah hipotermia dalam kalangan bayi lahir pramasa dan/atau berat lahir rendah dalam 10 minit selepas lahir di bilik bersalin, berbanding penjagaan haba rutin atau sebarang intervensi tunggal/kombinasi?

Latar belakang: Mencegah suhu badan rendah semasa kelahiran bayi pramasa dan berat lahir rendah mungkin penting untuk survival dan hasil jangka panjang. Bayi bergantung kepada bantuan luaran untuk mengekalkan suhu, terutamanya dalam 12 jam pertama kehidupan. Bagi bayi yang lahir pramasa atau berat lahir rendah, suhu badan yang luar biasa rendah (hipotermia) adalah isu di seluruh dunia di semua iklim dan telah dikaitkan dengan pelbagai komplikasi termasuk kematian. Tindakan pencegahan diambil dengan mengurangkan kehilangan haba dan/atau memberikan kehangatan melalui sumber haba luaran. Langkah berjaga-jaga rutin termasuklah memastikan bilik bersalin yang hangat; pengeringan sejurus selepas lahir, terutama kepala; membungkus dalam selimut kering yang dipanaskan (termasuk kepala); permukaan yang dipanaskan; dan menghapuskan kekeringan.

Tarikh carian Kami menggunakan strategi carian standard Kumpulan Ulasan Cochrane Neonatal untuk mencari CENTRAL (2016, Issue 5), MEDLINE (1966 hingga 30 Jun 2016), Embase (1980 hingga 30 Jun 2016), dan Indeks Kumulatif untuk Kejururawatan dan Kesusasteraan Kesihatan Bersekutu (CINAHL; 1982 hingga 30 Jun 2016). Kami juga mencari pangkalan data kajian klinikal, prosiding persidangan, dan senarai rujukan artikel yang diambil untuk kajian rawak terkawal dan kajian kuasi-rawak.

Keputusan utama: Ulasan ini mengenal pasti 25 kajian yang melibatkan 2433 bayi; penyelidik menggunakan tindakan pencegahan tambahan dalam 10 minit pertama kehidupan untuk mengelakkan masalah dengan hipotermia. Penggunaan penutup plastik, tilam yang dipanaskan, dan sentuhan kulit-ke-kulit mengekalkan bayi lebih panas (dan dalam lingkungan suhu badan normal) daripada tindakan pencegahan rutin. Walau bagaimanapun, perlu diambil perhatian, terutamanya apabila kaedah ini digabungkan, untuk mengelakkan kesan yang tidak diingini iaitu menjadikan bayi terlalu panas, yang mungkin berbahaya. Pembatasan termasuk bilangan kecil bayi dan kajian yang memasukkan di dalam beberapa kumpulan perbandingan; variasi dalam kaedah dan definisi yang diguna untuk suhu badan biasa dan penjagaan rutin; dan perbezaan bahan-bahan yang digunakan.

Walaupun ulasan ini mengesahkan bahawa beberapa langkah ini berkesan mencegah hipotermia, hasil dalam semua kajian tidak menunjukkan pengurangan kematian dan hanya penambahbaikan yang terhad dalam komplikasi jangka pendek atau penyakit yang biasa dikaitkan dengan terlalu sejuk. Penemuan-penemuan menunjukkan mungkin hipotermia adalah penanda untuk hasil yang lebih buruk, terutama dalam kalangan bayi yang paling tidak matang dan terkecil, bukannya penyebab langsung. Ulasan penulis menyarankan agar kajian masa depan sepatutnya cukup besar untuk mengesan perubahan penyakit yang lebih jarang, harus menentukan penyakit-penyakit ini dengan cara yang sama supaya kajian-kajian dapat digabungkan di seluruh kajian, dan harus fokus kepada akibat jangka panjang.

Kualiti bukti Secara keseluruhan, bagi kumpulan perbandingan utama (balutan plastik atau beg berbanding penjagaan rutin), kami yakin bahawa keputusan kajian dan kesimpulan kami boleh dipercayai. Bagi perbandingan kumpulan yang berbaki, bukti tidak mencukupi untuk membenarkan pertimbangan kukuh terutamanya kerana bilangan kajian dan saiz sampel yang kecil.

Dalam perbandingan balutan atau beg plastik berbanding penjagaan rutin untuk mengekalkan suhu bayi lahir pramasa atau berat lahir rendah, kami menilai kualiti bukti sebagai sederhana untuk hasil utama. Pada keseluruhan laporan hasil-hasil pengawalan suhu badan bayi, kami mengesyaki beberapa kajian kecil yang menunjukkan intervensi-intervensi tersebut tidak mengekalkan kehangatan bayi mungkin tidak diterbitkan, penemuan kajian tidak sependapat, atau bukti-bukti adalah berdasarkan jumlah kajian atau peristiwa kecil. Untuk komplikasi utama kecederaan otak dan perdarahan ke dalam paru-paru (perdarahan pulmonari), bilangan kejadian adalah terlalu kecil atau penemuan hanya berdasarkan satu kajian. Kami mengesyaki beberapa kajian kecil yang melaporkan kematian mungkin tidak diterbitkan; namun ini tidak mungkin menjejaskan penemuan ulasan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information