Apakah isunya?
Pemindahan ginjal adalah rawatan pilihan bagi kebanyakan pesakit buah pinggang peringkat akhir Walau bagaimanapun, buah pinggang yang dipindah kadang-kalanya tidak dapat berfungsi untuk tempoh yang lama, maka adalah penting bagi mencari langkah untuk menambah baik fungsi jangka panjang buah pinggang tersebut dengan memilih terapi yang terbaik untuk mengekalkan fungsi buah pinggang dan memastikan penerima pemindahan adalah sihat tanpa kesan sampingan yang banyak.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami mengulas 70 kajian yang melibatkan 17,462 peserta rawak, yang membandingkan TOR-1 (everolimus atau sirolimus) dengan ejen lain untuk terapi imunotindasan awal penerima pemindahan ginjal.
Apakah yang telah kami temui?
Kami mendapati bahawa keberkesanan everolimus atau sirolimus yang digabungkan dengan siklosporin atau takrolimus dapat mencegah kegagalan dan penolakan dalam pemindahan ginjal adalah serupa dengan gabungan mikofenolat (sejenis antimetabolit) dengan siklosporin atau takrolimus dalam kajian-kajian yang mempunyai tempoh susulan dari enam bulan ke tiga tahun. Risiko jangkitan virus (CMV dan BK) adalah lebih rendah dengan TOR-I. Walau bagaimanapun, komplikasi luka adalah lebih sering dengan TOR-I dan lebih ramai orang terpaksa menghentikan pengambilan TOR-I dan menukar kepada ubat-ubatan lain imunotindasan yang lain.
Kesimpulan
Walaupun keputusan menunjukkan bahawa TOR-I adalah berkesan dalam mencegah kegagalan dan penolakan dalam pemindahan pada jangka pendek, kajian-kajian yang dimasukkan tidak menyusul peserta melebihi enam bulan hingga tiga tahun. Oleh itu, kita tidak memerlukan kajian lanjutan tetapi kita perlu menyusuli peserta-peserta dalam kajian yang sedia ada untuk tempoh yang lebih lama bagi menentukan betapa bergunanya ubat-ubatan tersebut untuk mengekalkan fungsi buah pinggang yang telah dipindahkan dalam jangka masa panjang.
Diterjemahkan oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Intan Juliana Abd Hamid (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi sctan@ukm.edu.my