Ulasan ini melihat intervensi untuk jangkitan kulit 'selulitis' dan 'erysipelas'. Kedua-dua istilah ini kini dianggap persembahan yang berbeza dari keadaan yang sama oleh kebanyakan pakar, jadi mereka dipertimbangkan bersama untuk ulasan ini. Untuk kemudahan kami menggunakan satu istilah 'selulitis' untuk merujuk kepada kedua-dua keadaan ini.
Selulitis adalah jangkitan kulit yang menyakitkan, biasanya bakteria, yang mungkin memerlukan pesakit dimasukkan ke hospital bagi kes yang teruk. Terdapat variasi bagi jenis rawatan yang ditetapkan, jadi ulasan ini bertujuan untuk mengumpulkan bukti mengenai rawatan terbaik yang sedia ada.
Jangkitan paling kerap menyerang kulit kaki tetapi boleh menjangkiti kulit di mana-mana bahagian badan, biasanya berikutan kecederaan pada kulit. Gejalanya termasuk rasa sakit yang teruk, bengkak, dan keradangan, yang sering disertai oleh demam, kekejangan, mual, dan rasa tidak sihat. Jangkitan biasanya dirawat dengan antibiotik, namun kortikosteroid dan rawatan fizikal telah digunakan untuk mengurangkan rasa sakit, kemerahan, bengkak, dan memperbaiki peredaran darah ke kulit.
Kami mengenal pasti 25 kajian terkawal secara rawak. Tidak ada dua kajian yang meneliti antibiotik yang sama, dan tidak ada rejim rawatan piawai yang digunakan sebagai perbandingan. Kami tidak dapat menentukan rawatan terbaik untuk selulitis dan kesimpulan terhad kami kebanyakannya berdasarkan kajian tunggal. Tiada rawatan tunggal yang jelas lebih unggul. Mengejutkan, antibiotik oral nampaknya lebih berkesan berbanding antibiotik yang diberikan ke dalam vena untuk selulitis sederhana dan teruk. Ini memerlukan kajian lanjutan. Antibiotik yang diberikan melalui suntikan ke otot sama berkesan dengan yang diberikan ke vena, dengan bilangan kejadian buruk yang lebih rendah. Dalam satu kajian penambahan kortikosteroid pada antibiotik nampaknya memendekkan jangka waktu tinggal di hospital, namun kajian lebih lanjut adalah diperlukan. Satu kajian kecil menunjukkan terapi getaran mungkin meningkatkan kadar pemulihan tetapi hasil kajian-kajian tunggal harus dilihat secara berhati-hati. Kami tidak memiliki cukup data untuk memberikan hasil yang bermakna bagi kejadian buruk.
Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my