Perbandingan toksin botulinum jenis A dengan toksin botulinum jenis B untuk kedudukan kepala di luar kawalan, atau distonia servikal

Soalan ulasan

Kami menyemak bukti tentang kesan toksin botulinum jenis A (BtA) berbanding toksin botulinum jenis B (BtB) pada orang dengan kedudukan kepala di luar kawalan, atau dystonia servikal. Ini adalah kemas kini bagi Ulasan Cochrane sebelum ini dan kami menaksir keberkesanan (pengurangan tahap keparahan, ketidakupayaan dan kesakitan) dan keselamatan BtA berbanding BtB dalam distonia servikal.

Latar belakang

Distonia servikal, juga dipanggil tortikolis spasmodik, adalah penyakit yang menyebabkan perletakan kepala tidak normal yang tidak diingini, tidak boleh dikawal, dan biasanya menyakitkan. Ia adalah keadaan yang agak jarang (melibatkan 57 hingga 280 orang bagi setiap juta) yang boleh menjadikan seseorang itu sangat tidak upaya, dan boleh memberi kesan negatif terhadap kualiti hidup. Dalam kebanyakan kes, penyebabnya tidak diketahui dan tiada penawar yang wujud. Disebabkan distonia servikal biasanya merupakan penyakit jangka panjang, ia memerlukan rawatan jangka panjang.

Toksin botulinum (Bt) adalah bahan kimia semula jadi yang kuat yang boleh menyebabkan kelumpuhan serius (ketidakupayaan untuk bergerak pada bahagian badan di mana ianya disuntik) dalam kalangan haiwan dan manusia . Ia juga boleh digunakan untuk merawat pelbagai keadaan, khususnya mereka dengan pengecutan otot di luar kawalan, seperti distonia servikal. Bt diberikan melalui suntikan ke dalam otot yang mengecut untuk menyebabkan penyakit. Terdapat pelbagai jenis toksin botulinum, tidak semuanya tersedia untuk merawat masalah kesihatan. BtA biasanya merupakan rawatan pertama yang digunakan bagi distonia servikal, tetapi toksin botulinum jenis B (BtB) adalah satu pilihan alternatif. Kekuatan relatif setiap formulasi Bt adalah berbeza, dan kos untuk 200 unit adalah sekitar GBP 198 hingga GBP 308.

Ciri-ciri kajian

Kami melakukan carian pustaka perubatan yang teliti pada bulan Oktober 2016 dan menemui tiga kajian yang membandingkan satu sesi rawatan BtA dengan BtB. Kajian-kajian ini melibatkan sejumlah 270 peserta, yang secara puratanya mempunyai penyakit pada tahap sederhana. Para peserta terlibat dalam kajian untuk jangka masa yang singkat - antara 16 dan 20 minggu selepas rawatan. Purata usia orang dalam kajian-kajian tersebut adalah 53.3 tahun, dan mereka telah mengalami distonia servikal selama purata 6.6 hingga 7.9 tahun sebelum mengambil bahagian dalam kajian-kajian tersebut. Kebanyakannya, 63.3%, daripada peserta dalam kajian tersebut adalah wanita. Ketiga-tiga kajian telah dibiayai oleh pengilang ubatan yang mungkin berkepentingan dalam keputusan kajian-kajian tersebut.

Keputusan utama

Keputusan menunjukkan sedikit atau tiada perbezaan antara BtA dan BtB dalam langkah utama penambahbaikan dan keselamatan secara keseluruhan, termasuk jumlah kejadian buruk (tidak diingini atau berbahaya). Terdapat juga sedikit atau tiada perbezaan antara BtA dan BtB dalam penilaian kendiri yang dilaporkan oleh peserta kajian. Berdasarkan keputusan, kami menjangkakan bahawa, daripada 1000 pesakit dengan distonia servikal yang dirawat dengan BtB, terdapat 362 lebih orang yang mengalami mulut kering/sakit tekak berbanding dengan 1000 orang yang dirawat dengan BtA. Kajian-kajian tersebut yang melihat kepada tempoh kesan menunjukkan sedikit atau tiada perbezaan antara BtA dan BtB. Tiada kajian yang mengkaji kesan mana-mana Bt terhadap kualiti hidup.

Kualiti bukti

Semua kajian melibatkan peserta yang berbeza daripada orang biasa yang mengalami distonia servikal. Untuk terlibat dalam kajian, peserta perlu mempunyai sejarah rawatan yang berjaya dengan Bt. Pesakit yang mempunyai jenis distonia servikal tertentu, khususnya jenis yang membuat kepala menoleh ke belakang atau ke hadapan, tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam kajian tersebut.

Bilangan peserta yang tidak cukup yang terlibat dalam seluruh kajian membuatkan kami tidak yakin sepenuhnya dengan keputusan tentang jumlah kejadian buruk, penilaian kendiri yang dilaporkan oleh peserta atau penilaian kesakitan.

Kualiti bukti untuk penambahbaikan keseluruhan dan jumlah kejadian buruk adalah rendah. Kualiti bukti untuk lebih banyak sakit tekak/mulut kering dalam kalangan orang yang menerima BtB adalah sederhana. Kualiti bukti di mana peserta memberikan penilaian kendiri mereka adalah rendah.

Tiada kesimpulan pasti boleh dibuat mengenai keselamatan keseluruhan dan utiliti jangka panjang BtA berbanding BtB dalam distonia servikal.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).

Tools
Information