Cara untuk memperbaiki penggunaan kawalan kelahiran dengan hormon

Apakah persoalannya?

Apakah keberkesanan kaedah yang memfokuskan peningkatan penggunaan kontrasepsi hormon jangka pendek dan berterusan (seperti teknik kaunseling, atau pendidikan, motivasi atau mesej peringatan) berbanding penjagaan perancangan keluarga biasa (seperti kaunseling rutin atau tanpa mesej peringatan).

Mengapa ianya penting?

Kawalan kelahiran jangka pendek dengan hormon digunakan oleh ramai wanita di seluruh dunia. Kaedah hormon jangka pendek yang paling lazim adalah pil kawalan kelahiran dan suntikan. Kaedah-kaedah ini seringkali tidak berfungsi dengan baik. Wanita mungkin bermasalah menggunakan kawalan kelahiran seperti yang dimaksudkan, seperti kehilangan beberapa pil atau terlambat untuk suntikan seterusnya. Wanita juga mungkin berhenti menggunakan sesuatu kaedah akibat perubahan perdarahan. Kami melihat sama ada kaunseling atau peringatan membantu wanita menggunakan jenis-jenis kawalan kelahiran dengan betul.

Penggunaan jenis-jenis kawalan kelahiran jangka pendek yang tidak betul boleh menyebabkan kehamilan yang tidak dirancang. Sebanyak 20% daripada kehamilan yang tidak dirancang di Amerika Syarikat (AS) adalah berkaitan dengan penggunaan kontraseptif oral yang salah. Terdapat banyak kesan kesihatan dan kewangan bagi wanita dan sistem penjagaan kesihatan untuk kehamilan yang tidak dirancang. Mengenal pasti cara untuk memperbaiki penggunaan dan kesinambungan kaedah kontraseptif hormon jangka pendek adalah penting untuk mengurangkan kehamilan yang tidak dirancang.

Apakah yang kami temui?

Kami mencari bukti daripada kajian rawak terkawal (RCT) sehingga Julai 2018. Ulasan kemas kini ini memasukkan 10 RCT yang melibatkan 6242 wanita. Enam kajian memfokuskan kaunseling dan empat kajian melibatkan peringatan tentang dos atau temujanji seterusnya (+/- maklumat kesihatan pendidikan). Semua kajian dijalankan sama ada di AS atau Mexico. Satu kajian yang ditambah tidak mengubah hasil atau memperbaiki kepastian bukti.

Kaunseling mungkin:

· memperbaiki kesinambungan kontrasepsi (6 kajian; 2624 peserta; bukti kepastian sangat rendah)

· mengurangkan pemberhentian akibat masalah haid (1 kajian; 350 peserta; bukti kepastian rendah)

· mengurangkan pemberhentian akibat peristiwa buruk (1 kajian; 350 peserta; bukti kepastian rendah)

· tiada kesan ke atas hasil kehamilan (3 kajian, 1985 peserta, bukti kepastian sangat rendah)

Peringatan:

· mungkin memperbaiki kesinambungan kontrasepsi (2 kajian, 933 peserta, bukti kepastian sangat rendah)

· mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepatuhan mengambil pil (1 kajian, 73 peserta; bukti kepastian sederhana)

· mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada suntikan tepat pada masanya untuk kontrasepsi suntikan (2 kajian, 350 peserta, bukti kepastian rendah).

Apakah maksudnya?

Terdapat sedikit bukti yang menunjukkan kedua-dua kaunseling dan peringatan intensif (disediakan dengan atau tanpa maklumat pendidikan) mungkin meningkatkan kesinambungan kontrasepsi hormon jangka pendek berbanding penjagaan perancangan keluarga biasa.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com.

Tools
Information