Kebergantungan alkohol adalah faktor risiko kesihatan penting yang boleh membawa kepada kecacatan dan kematian penduduk negara maju dan negara yang sedang membangun. Pengambilan alkohol boleh dielakkan, lantas menekankan perlunya strategi berkesan untuk membantu mereka yang bergantung kepada alkohol mengurangan pengambilan berlebihan dan kekalkan menahan diri selepas detoksifikasi. Program psikososial mempunyai kejayaan yang terhad dalam mencegah pergantungan alkohol selepas program detoksifikasi. Penambahan agen farmakologi boleh memberi sokongan dalam mencapai atau mengekalkan penahanan diri atau mengurangkan pengambilan alkohol. Antagonis glutamat sintetik iaitu acamprosate dan antagonis opioid iaitu naltrexone digunakan untuk tujuan ini.
Ulasan sistematik ini menunjukkan bahawa acamprosate merupakan rawatan yang berkesan dan selamat bagi pesakit yang bergantung pada alkohol untuk menahan diri secara berterusan selepas detoksifikasi alkohol. Apabila ditambah kepada strategi rawatan psikososial, acamprosate boleh mengurangkan risiko kembali kepada pengambilan minuman keras selepas detoksifikasi berbanding dengan rawatan plasebo (bilangan pesakit yang perlu dirawat (NNT) untuk memanfaatkan seorang pesakit adalah sembilan orang). Masa menahan diri kumulatif juga jelas meningkat. Bilangan orang yang kembali minum berlebihan tidak berubah. Walaupun kesan rawatan adalah sederhana, faedahnya perlulah dinilai kerana sifat ketagihan alkohol yang berulang dan pilihan rawatan yang terhad pada masa ini. Cirit-birit adalah kesan sampingan yang paling kerap dilaporkan dengan acamprosate. Secara keseluruhan, kesan sampingan tidak menyebabkan lebih ramai peserta untuk menghentikan rawatan apabila mengambil acamprosate berbanding dengan plasebo.
Kesimpulan ini adalah berdasarkan kepada 24 kajian rambang terkawal yang melibatkan 6,915 peserta yang telah dirawat sebagai pesakit luar kecuali satu kajian yang melibatkan remaja sebagai pesakit dalam. Kebanyakan peserta adalah kaum lelaki di mana umur median adalah 42 tahun. Kebanyakan kajian dijalankan di Eropah; dua kajian dijalankan di Amerika Syarikat dan satu kajian dijalankan di Korea Selatan, Australia, dan Brazil masing-masing. Kesan acamprosate tidak berbeza antara kajian yang ditaja oleh industri dengan kajian yang dibiayai oleh pertubuhan bukan keuntungan.
Tiga kajian telah membandingkan acamprosate dan naltrexone tetapi tidak menunjukkan kelebihan antara satu ubat dengan ubat yang lain dari segi bilangan orang yang kembali kepada minuman keras, kembali kepada pengambilan minuman berlebihan dan tempoh menahan diri kumulatif.
Diterjemahkan oleh Raymond Chieng Siang Ching (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura (Melaka Manipal Medical College)Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com