Mengapa perlu membuat pemeriksaan gigi?
Pemeriksaan gigi membantu menjaga kesihatan mulut dan membolehkan doktor gigi melihat jika anda menghadapi sebarang masalah pergigian. Ia membolehkan doktor gigi anda menangani masalah lebih awal, atau lebih baik lagi, untuk mencegah masalah daripada terjadi. Membiarkan masalah yang tidak dirawat mungkin menyukarkan rawatan pada masa akan datang.
Apa yang berlaku semasa pemeriksaan?
Pada setiap pemeriksaan, doktor gigi anda akan:
· memeriksa gigi, gusi dan mulut anda;
· bertanya tentang kesihatan umum dan jika anda bermasalah dengan gigi, mulut atau gusi sejak pemeriksaan terakhir;
· menasihati anda tentang tabiat membersihkan gigi, dan diet, merokok dan penggunaan alkohol.
· Jika sesuai, mencadangkan rawatan yang diperlukan untuk sebarang masalah gigi.
Selepas pemeriksaan anda, doktor gigi akan mencadangkan tarikh untuk pemeriksaan seterusnya. Secara tradisional, pemeriksaan dilakukan setiap enam bulan. Walau bagaimanapun, sesetengah orang berisiko tinggi mengalami masalah gigi dan mungkin memerlukan pemeriksaan lebih kerap, sementara yang lain mungkin tidak memerlukan pemeriksaan begitu kerap.
Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini
Membuat pemeriksaan setiap enam bulan mungkin membantu menjaga kesihatan mulut dan mengelakkan masalah pergigian pada masa akan datang, tetapi juga boleh menyebabkan rawatan pergigian yang tidak perlu. Walau bagaimanapun, pemeriksaan yang kurang kerap mungkin menyebabkan masalah pergigian menjadi lebih teruk dan menyebabkan rawatan dan penjagaan yang sukar dan mahal.
Kami ingin mengenal pasti julat masa terbaik antara pemeriksaan gigi.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian rawak terkawal di mana orang diletakkan secara rawak kepada julat masa yang berbeza antara pemeriksaan. Kajian rawak terkawal sering memberikan bukti yang paling boleh dipercayai.
Tarikh carian: kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 17 Januari 2020.
Apakah yang kami temui
Kami mendapati dua kajian dengan 1736 orang yang menjalani pemeriksaan gigi secara berkala. Satu kajian dilakukan di klinik pergigian awam di Norway dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa berumur bawah 20 tahun. Ia membandingkan pemeriksaan 12 bulan dan 24 bulan, dan mengukur hasilnya selepas dua tahun.
Kajian satu lagi dilakukan dalam kalangan dewasa di 51 pusat pergigian di UK. Ia membandingkan pemeriksaan setiap enam-bulan, 24‑bulan dan pemeriksaan berdasarkan risiko (di mana masa antara pemeriksaan ditetapkan oleh doktor gigi dan bergantung kepada risiko penyakit gigi seseorang), dan mengukur hasilnya selepas empat tahun.
Kajian-kajian tersebut melihat bagaimana julat masa yang berbeza antara pemeriksaan mempengaruhi:
· berapa orang mengalami kerosakan gigi;
· berapa permukaan gigi yang rosak;
· penyakit gusi (peratusan pendarahan gusi); dan
· kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan gigi dan gusi.
Tiada kajian yang mengukur kesan yang tidak diingini.
Apakah keputusan ulasan kami?
Dalam kalangan dewasa, terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara pemeriksaan enam bulan dan berdasarkan risiko bagi kerosakan gigi (bilangan permukaan gigi yang terjejas), penyakit gusi dan kualiti hidup selepas empat tahun; dan mungkin sedikit atau tiada perbezaan bilangan orang yang mengalami kerosakan gigi sederhana hingga teruk.
Mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan antara pemeriksaan enam-bulan dan 24-bulan berdasarkan risiko bagi kerosakan gigi (bilangan orang dan permukaan gigi yang terjejas), penyakit gusi dan kehidupan, dan mungkin sedikit atau tiada perbezaan bilangan orang yang mengalami kerosakan gigi sederhana hingga teruk.
Kami tidak menemui cukup bukti boleh dipercayai tentang kesan pemeriksaan setiap 12-bulan dan 24-bulan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja selepas dua tahun. Ini adalah kerana masalah-masalah dengan cara kajian dijalankan.
Adakah keputusan ini boleh dipercayai?
Kami yakin ada sedikit atau tiada perbezaan antara pemeriksaan setiap enam-bulan dan berdasarkan risiko dalam kalangan dewasa untuk jumlah permukaan gigi yang rosak, penyakit gusi dan kualiti hidup.
Kami sederhana yakin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara pemeriksaan setiap 24-bulan dan enam-bulan berdasarkan risiko dalam kalangan dewasa untuk jumlah permukaan gigi yang rosak, penyakit gusi dan kualiti hidup.
Kesimpulan
Sama ada orang dewasa berjumpa doktor gigi mereka untuk pemeriksaan setiap enam bulan atau pada julat masa yang sesuai berdasarkan penilaian doktor gigi tentang risiko penyakit gigi tidak mempengaruhi kerosakan gigi, penyakit gusi, atau kualiti hidup. Julat masa lebih lama (hingga 24 bulan) antara pemeriksaan mungkin tidak mempengaruhi hasil secara negatif.
Pada masa ini, tiada cukup bukti boleh dipercayai tentang kekerapan kanak-kanak dan remaja harus berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan.
Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my