Mesej utama
• Intervensi psikologi (terapi bercakap/kaunseling) boleh mengurangkan gejala kemurungan di kalangan orang dewasa dengan penyakit jantung kongenital.
• Kajian lanjut diperlukan untuk menentukan rawatan psikologi yang terbaik untuk populasi ini, seperti tempoh, kekerapan dan jenis intervensi.
Apa itu penyakit jantung kongenital?
Penyakit jantung kongenital ialah istilah umum yang digunakan untuk mentakrifkan pelbagai kecacatan kelahiran yang menjejaskan fungsi jantung.
Mengapakah ianya penting untuk melakukan ulasan ini?
Kadangkala, golongan belia dan orang dewasa yang dilahirkan dengan masalah jantung mengalami kemurungan. Selain ubat antidepresan, rawatan untuk membantu mengurangkan kemurungan termasuklah pelbagai jenis terapi bercakap (dikenali sebagai terapi psikologi). Manfaat menjalani rawatan dengan terapi bercakap mungkin termasuk pengurangan kemurungan dan peningkatan kualiti hidup, tetapi rawatan tersebut mungkin tidak membantu melegakan kemurungan.
Apakah yang kami ingin tahu?
Matlamat kami adalah untuk mengkaji kesan (mudarat dan manfaat) intervensi psikologi untuk merawat kemurungan pada golongan belia dan orang dewasa dengan penyakit jantung kongenital.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami mengemas kini carian literatur perubatan setakat Mac 2023. Kami memilih kajian yang memenuhi kriteria kami, menilai risiko bias untuk kemurungan, membandingkan keputusan kajian ini, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan kajian ini (contohnya kaedah penilaian dan saiz sampel).
Apakah yang kami temui?
Kami menemui tiga kajian, dengan sejumlah 480 peserta dengan penyakit jantung kongenital, yang menyelidik bagaimana intervensi psikologi (terapi bercakap/kaunseling) memberi kesan kepada kemurungan. Intervensi psikologi tersebut berlangsung antara 90 minit dan 3 bulan. Kajian-kajian ini telah dijalankan di Kanada, Sweden, dan Belanda. Kajian dibiayai oleh geran daripada Majlis Penyelidikan Kebangsaan negara masing-masing.
Keputusan ulasan kami mencadangkan bahawa intervensi psikologi boleh membantu mengurangkan gejala kemurungan di kalangan orang dewasa dengan penyakit jantung kongenital. Walau bagaimanapun, jenis dan tempoh intervensi berbeza-beza antara kajian, oleh itu adalah berkemungkinan yang sesetengah intervensi mungkin memberi sedikit hingga tiada perbezaan bagi mengurangkan kemurungan.
Apakah batasan bukti?
Terdapat hanya tiga kajian yang memenuhi kriteria untuk semakan, dan kepastian bukti adalah rendah. Tiada bukti yang mencukupi untuk membuat kesimpulan tentang kesan intervensi psikologi (terapi bercakap/kaunseling) terhadap kualiti hidup.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Mac 2023.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).