Soalan ulasan
Pengarang ulasan Cochrane menyiasat sama ada memindahkan embrio pada Hari kedua atau pada Hari ketiga perkembangan membuat perbezaan kepada hasil kehamilan dalam kalangan wanita yang melalui persenyawaan in vitro atau suntikan sperma intrasitoplasma.
Latar belakang
Pemindahan embrio biasanya dilakukan dua hari selepas pengambilan oosit (telur); walau bagaimana pun, perkembangan dalam media kultur dan kaedah kultur embrio telah membolehkan embrio dikekalkan dalam kultur untuk tempoh yang lebih lama. Ini bermakna lebih banyak penilaian boleh dilakukan untuk melihat peluang implantasi untuk setiap embrio. Menangguhkan pemindahan daripada Hari kedua kepada Hari ketiga akan membolehkan perkembangan lanjutan embrio dan mungkin mempunyai kesan positif kepada hasil kehamilan.
Ciri-ciri kajian
Kami mengenal pasti 15 kajian rawak yang memenuhi kriteria penyertaan ulasan. Ini termasuk 14 kajian yang melaporkan data daripada 2894 wanita; satu kajian yang melaporkan data daripada 969 kitaran tidak boleh dimasukkan ke dalam meta-analisis. Semua kajian yang disertakan adalah kajian rawak terkawal rekabentuk selari yang dijalankan di Brazil, Chile, Singapura, Argentina, Finland, Turki, Sepanyol, Israel, Kanada, Greece, Jepun, Itali, Norway dan Belgium. Bukti adalah terkini sehingga April 2016.
Keputusan utama
Hanya tiga daripada 15 kajian melaporkan kelahiran hidup sebagai hasil. Kami mendapati tiada bukti jelas tentang perbezaan antara Hari ketiga dan Hari kedua pemindahan embrio untuk kadar kelahiran hidup, kehamilan berterusan, hamil klinikal, kehamilan berbilang atau keguguran. Tiada data yang dilaporkan untuk kadar komplikasi, abnormaliti janin atau penilaian prosedur oleh wanita.
Kualiti bukti
Pelaporan pennyembunyian peruntukan adalah lemah dalam kajian-kajian yang disertakan dan pembutaan adalah tidak mungkin (walaupun kami merasa ia cenderung tidak mempengaruhi hasil kehamilan). Pembutaan hasil penilai tidak dilaporkan. Kualiti bukti adalah sederhana hingga sangat rendah. Sebab utama gred bukti diturunkan adalah pelaporan kaedah kajian yang lemah (risiko bias), kurang persetujuan antara kajian-kajian (tidak konsisten), kadar peristiwa yang rendah dan kurang ketepatan (ketidaktepatan) beberapa hasil dan pelaporan hasil kelahiran hidup yang lemah (pelaporan selektif).
Sebarang kajian lanjut yang membandingkan masa pemindahan embrio ini tidak mungkin mengubah penemuan dan kami tidak merancang untuk mengemas kini ulasan ini lagi. Kebanyakan kajian yang disertakan dalam ulasan ini mengguna teknik ketinggalan zaman termasuk stimulasi, teknik makmal dan pemindahan lebih dari satu embrio. Kami ingin menarik perhatian pembaca kepada ulasan Cochrane Glujovsky 2016 yang membandingkan Hari 2/3 dengan hari 5/6 pemindahan embrio.
Diterjemah oleh Ch’ng Chyi Yang (RUMC). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my