Pelbagai antibiotik untuk faringitis streptokokus kumpulan A

Antibiotik manakah yang lebih baik untuk faringitis (atau sakit tekak)?

Mesej utama
Kesan ke atas penyelesaian gejala sakit tekak/faringitis yang disebabkan oleh streptokokus beta-hemolitik kumpulan A (GABHS) adalah serupa antara antibiotik yang berbeza. Semua antibiotik boleh menyebabkan kesan buruk.

Apakah faringitis?
Faringitis (atau sakit tekak) ialah keradangan tekak yang disebabkan oleh virus atau bakteria (cth streptokokus beta-hemolitik kumpulan A). Ia biasanya sembuh tanpa rawatan. Risiko komplikasi adalah sangat rendah bagi kebanyakan orang di negara berpendapatan tinggi. Walau bagaimanapun, jangkitan GABHS boleh menyebabkan komplikasi serius dalam sesetengah populasi.

Bagaimanakah faringitis dirawat?
Kadangkala antibiotik diberikan. Penisilin telah diguna untuk merawat GABHS selama bertahun-tahun. Rintangan GABHS terhadap penisilin adalah jarang. Walau bagaimanapun, antibiotik hanya memberi manfaat sederhana, walaupun jika GABHS hadir.

Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu antibiotik mana yang lebih berkesan dalam merawat sakit tekak yang disebabkan oleh GABHS.

Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian rawak terkawal buta duaan yang membandingkan antibiotik yang berbeza untuk orang dengan sakit tekak yang diuji positif untuk GABHS, dan berumur dari satu bulan hingga 80 tahun.

Apakah yang kami temui?
Kami sertakan 19 kajian (18 terbitan) melibatkan 5839 orang. Sembilan kajian melibatkan hanya kanak-kanak; dan 10 kajian melibatkan orang berumur 12 tahun ke atas. Kebanyakan kajian diterbitkan lebih 15 tahun yang lalu; semua kecuali satu melaporkan hasil yang relevan untuk pesakit.

Keputusan utama
Kami mendapati kesan antibiotik yang berbeza (seperti penisilin, sefalosporin, makrolida, azitromycin, dan carbacephem) untuk memperbaik gejala adalah serupa. Semua antibiotik menyebabkan kesan buruk (seperti loya dan muntah, cirit-birit, ruam). Kajian tidak melaporkan komplikasi jangka panjang. Oleh itu, adalah tidak jelas sama ada sebarang kelas antibiotik lebih baik untuk mencegah komplikasi yang serius tetapi jarang berlaku. Insiden alahan penisilin kurang dilaporkan dalam kajian-kajian yang disertakan. Penemuan kami mencadangkan dalam konteks memelihara antibiotik, penisilin kekal sebagai antibiotik yang berguna jika rawatan faringitis GABHS dengan antibiotik diperlukan.

Apakah batasan bukti?
Kami sedikit atau sangat sedikit yakin terhadap bukti kerana kaedah-kaedah kajian dilaporkan dengan buruk, dan kami bimbang tentang fakta anggaran kesan yang tidak tepat dan terdapat banyak perbezaan antara kajian yang terkumpul tersebut.

Semua kajian dilaksanakan di negara berpendapatan tinggi di mana risiko komplikasi streptokokus adalah rendah, oleh itu terdapat keperluan untuk kajian-kajian di persekitaran pendapatan rendah dan populasi kurang bernasib baik, di mana risiko komplikasi kekal tinggi.

Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 19 Mac 2023.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information