Komuniti dan rawatan pesakit luar tanpa sukarela yang wajib untuk orang dengan gangguan mental yang teruk

Latar belakang

Banyak negara menggunakan rawatan komuniti wajib (CCT) untuk mereka yang mengalami masalah kesihatan mental yang teruk, termasuk Australia, Kanada, Israel, New Zealand, UK dan AS. Penyokong pendekatan ini mencadangkan bahawa CCT adalah perlu kerana peralihan kepada penjagaan komuniti bagi orang yang mengalami penyakit mental yang teruk dan kerana ia adalah lebih senang untuk merawat seseorang secara wajib dalam komuniti daripada memasukkan mereka ke hospital untuk berulang kali. Mereka juga berpendapat bahawa ia adalah berkesan dalam membawa kestabilan hidup orang yang mengalami penyakit mental yang teruk. Penentang terhadap CCT bimbang layanan dan sokongan akan digantikan dengan penekanan yang lebih besar terhadap kawalan, kekangan dan ancaman. Terdapat juga kebimbangan bahawa CCT boleh menjejaskan hubungan antara profesional penjagaan kesihatan dan pesakit, yang membawa kepada perasaan tidak percaya dan dikawal, yang mungkin mengakibatkan orang yang mengalami penyakit mental yang teruk untuk menjauhkan diri daripada perkhidmatan penjagaan.

Dengan penggunaan kuasa sedemikian secara meluas, yang mewajibkan orang ramai untuk mengikuti perkhidmatan kesihatan mental dan menjalani rawatan semasa hidup dalam komuniti, ia adalah penting untuk menilai faedah, keberkesanan atau kemungkinan bahaya rawatan wajib.

Carian

Ulasan ini adalah berdasarkan carian yang dijalankan pada 2012 dan 2013, serta dikemas kini pada 2016.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini kini merangkumi tiga kajian dengan 749 orang, dengan susulan dalam satu kajian yang dilanjutkan hingga 36 bulan. Dua daripada kajian tersebut membandingkan bentuk CCT dengan penjagaan standard atau penjagaan sukarela dan kajian ketiga membandingkan bentuk CCT yang dipanggil 'perintah rawatan komuniti' dengan discaj yang dipantau.

Keputusan

Keputusan daripada kajian-kajian tersebut menunjukkan bahawa secara keseluruhan CCT tidak lebih berkemungkinan menghasilkan penggunaan perkhidmatan yang lebih baik, fungsi sosial, keadaan mental atau kualiti hidup berbanding dengan penjagaan 'sukarela' standard. Peserta dalam kajian-kajian yang menerima CCT kurang berkemungkinan untuk menjadi mangsa jenayah ganas atau tanpa kekerasan. Cuti bersyarat yang bertempoh pendek mungkin berkesan (atau tidak berkesan) seperti rawatan wajib dalam masyarakat.

Kesimpulan

Maklumat yang ada adalah sangat terhad, semua keputusan adalah berdasarkan kepada tiga kajian yang agak kecil dengan kualiti rendah hingga sederhana, menjadikannya sukar untuk membuat kesimpulan yang kukuh, jadi penyelidikan lanjut mengenai kesan pelbagai jenis CCT adalah amat diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information