Imunoglobulin intravena untuk neuropati motor multifokal

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti berkenaan kesan imunoglobulin intravena (IVIg) dan imunoglobulin subkutaneus (SCIg) terhadap pesakit neuropati motor multifokal (MMN). Imunoglobulin adalah penyediaan antibodi tanpa sasaran khusus yang ditulenkan daripada darah dan selalunya diberi melalui vena (imunoglobulin intravena; IVIg); walaubagaimanapun, infusi di bawah kulit (SCIg) mungkin merupakan suatu alternatif.

Latar belakang

MMN adalah keadaan yang jarang berlaku yang menyebabkan kelemahan anggota badan, yang cenderung menjadi lebih teruk dari semasa ke semasa. Bahagian lengan, terutamanya tangan, lebih kerap terkesan berbanding kaki. Rawatan biasa untuk MMN adalah IVIg.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari secara meluas kajian mengenai topik ini dan menemui enam kajian kecil yang melibatkan sejumlah 90 pesakit MMN yang menerima rawatan IVIg. Tiga kajian mempunyai had, dan maklumat tentang kajian lain adalah tidak mencukupi untuk membuat penilaian penuh. Lima kajian membandingkan infusi (suntikan perlahan) IVIg dengan infusi palsu. Kajian yang selebihnya membandingkan dua laluan pemberian yang berbeza: Infusi IVIg berbanding infusi SCIg. Kesannya diukur antara 4 dan 12 minggu selepas rawatan. Dua kajian melibatkan pekerja pengeluar imunoglobulin sebagai pengarang. Salah satu kajian ini, yang juga ditaja oleh pengeluar, menjalani semakan manuskrip bebas oleh pakar dengan akses data penuh.

Keputusan utama dan kepastian bukti

IVIg boleh meningkatkan kekuatan pesakit MMN. IVIg juga boleh memperbaiki ketidakupayaan, tetapi kami memerlukan penyelidikan lanjut untuk mengesahkan atau menolak suatu kesan, kerana bukti ini adalah kurang pasti. Pembuktian sama ada lebih ramai orang mengalami kesan sampingan dengan IVIg berbanding infusi palsu adalah tidak pasti. Terdapat hanya satu kesan sampingan yang serius (embolisme pulmonari) semasa rawatan IVIg. Kebanyakan pesakit MMN memerlukan rawatan imunoglobulin yang berterusan, kerana ketidakupayaan dan kekuatan otot mungkin merosot dengan penarikan imunoglobulin. Kami memerlukan lebih banyak bukti sama ada SCIg merupakan alternatif kepada IVIg.

Bukti adalah terkini sehingga April 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Rosalina Wan Rosli (University of Cyberjaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkenaan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information