Terapi pergerakan yang disebabkan oleh kekangan untuk pemulihan anggota atas (lengan) selepas strok

Soalan ulasan

Kami ingin menilai kesan terapi pergerakan akibat kekangan (CIMT) terhadap keupayaan untuk menguruskan aktiviti harian dan pemulihan pergerakan dalam lengan lumpuh selepas strok.

Latar belakang

Selepas strok, seseorang boleh mengalami kelumpuhan lengan, dan, walaupun beberapa kawalan pergerakan kekal, fungsinya kurang daripada lengan yang tidak terjejas. Kelumpuhan membuatkan pergerakan lengan, seperti mencapai, menggenggam dan menggerakkan objek menjadi sukar. Lantas, ini menyebabkan kesusahan dalam aktiviti kehidupan harian, seperti mandi, memakai baju, makan dan menggunakan tandas. Semasa CIMT lengan yang tidak terjejas dikekang supaya tidak dapat digunakan, dan sebaliknya bermaksud lengan yang terjejas pula perlu digunakan. Lengan dan tangan yang tidak terjejas dihalang daripada bergerak dengan menggunakan sarung tangan atau alas tangan khas. CIMT sepatutnya menjadi alat yang berguna untuk memulihkan keupayaan untuk melakukan aktiviti harian.

Ciri-ciri kajian

Kami, pasukan penyelidik Cochrane, mencari secara meluas melalui kesusasteraan perubatan dan mengenal pasti 42 kajian berkaitan yang melibatkan 1453 peserta. Bukti adalah terkini sehingga Januari 2015. Para peserta dalam kajian ini mempunyai sedikit kawalan ke atas lengan mereka yang terjejas dan secara amnya dapat membuka tangan mereka yang terjejas dengan memanjangkan pergelangan tangan dan jari. Rawatan-rawatan CIMT berbeza antara kajian dari segi tempoh masa lengan peserta yang tidak terjejas dikekang setiap hari, dan bilangan senaman aktif yang perlu dilakukan lengan yang terjejas. CIMT dibandingkan terutamanya dengan rawatan fisioterapi aktif, dan kadangkala tanpa rawatan.

Keputusan utama

42 kajian menilai aspek pemulihan yang berbeza daripada strok, dan tidak semua mengukur perkara yang sama. Sebelas kajian (dengan 344 peserta) menilai kesan-kesan CIMT ke atas ketidakupayaan (penggunaan lengan yang bekesan dalam kehidupan harian dan menemui penggunaan CIMT tidak membawa kepada peningkatan dalam keupayaan untuk mengurus aktiviti harian seperti mandi, memakai baju, makan dan menggunakan tandas. Dua puluh lapan ujian (dengan 858 peserta) menguji sama ada CIMT meningkatkan keupayaan penggunaan lengan yang terjejas. CIMT nampaknya lebih berkesan dalam meningkatkan pergerakan lengan daripada rawatan fisioterapi aktif atau tiada rawatan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti bagi setiap hasil adalah terhad kerana bilangan peserta kajian yang kecil dan pelaporan butiran kajian yang lemah. Kami menganggap kualiti bukti adalah rendah bagi ketidakupayaan dan amat rendah bagi keupayaan penggunaan lengan yang terjejas.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hanis Hamdan (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information