Antagonis reseptor endothelin untuk hipertensi arteri pulmonari

Soalan Ulasan

Adakah antagonis reseptor endothelin meningkatkan kemampuan seseorang untuk bersenam, memperbaiki gejala, atau mengurangkan kematian dalam orang dengan hipertensi arteri pulmonari (PAH)?

Latar belakang

Hipertensi arteri pulmonari adalah penyakit yang menghancurkan, dicirikan oleh peningkatan daya tahan vaskular paru-paru yang menyebabkan kegagalan jantung kanan dan akhirnya kematian.

Antagonis reseptor endothelin adalah golongan vasodilator kuat (ubat-ubatan yang membuka (melebarkan) saluran darah) yang mampu menghentikan proses pembelahan sel, yang dapat melebarkan dan mengakibatkan perubahan struktur arteri pulmonari yang baik.

Ciri-ciri kajian

Kami menilai bukti daripada kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta dibahagikan kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak). Setelah pencarian dan penilaian literatur perubatan secara menyeluruh, kami mengenal pasti 17 kajian dengan jumlah 3322 peserta untuk dimasukkan dalam tinjauan. Sebilangan besar peserta mempunyai PAH tanpa sebab yang diketahui (idiopatik). Bukti adalah terkini sehingga November 2020.

Hasil utama

Antagonis reseptor endothelin mungkin meningkatkan keupayaan senaman, meningkatkan kelas fungsi Organisasi Kesihatan Sedunia (ukuran seberapa parah gejala hipertensi pulmonari seseorang), dan dapat memperbaiki kadar kematian dan gejala pada orang dengan PAH; namun risiko kerosakan hati juga meningkat, walaupun ini jarang terjadi. Soalan mengenai kesan antagonis reseptor endothelin pada PAH kini mungkin telah dijawab.

Kepastian tentang bukti

Secara keseluruhan, bukti yang dikemukakan adalah kepastian yang sederhana kerana kejadian kehilangan data yang tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (Pusat Perubatan Universiti Malaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information