Latar belakang
Emboli pulmonari merupakan ketulan darah beku yang terlekat di dalam saluran arteri utama paru-paru, akan terjadi peningkatan tekanan yang berlebihan pada bahagian kanan jantung yang akan menjejaskan peredaran darah. Mereka yang pernah mengalami keadaan ini berisiko untuk mendapat lagi emboli baru (berulang). Dalam kes embolisma pulmonari major, rawatan untuk mengembalikan aliran darah diperlukan dengan sangat cepat. Heparin mencairkan darah, tetapi ubat-ubatan baru yang memecahkan bekuan secara aktif (trombolitik) mungkin bertindak lebih cepat dan mungkin lebih berkesan. Ubat-ubatan baru ini termasuk streptokinase, urokinase, dan tisu aktivator rekombinan plasminogen. Komplikasi penting rawatan ini ialah pendarahan.
Keputusan utama
Kami mencari data penerbitan dan memasukkan 21 kajian ke dalam kemas kini ini (bukti terkini sehingga 17 April 2020). Kajian-kajian ini melibatkan 2401 peserta dewasa yang mempunyai embolisma pulmonari, yang telah dibahagikan secara rawak kepada satu agen trombolitik diikuti dengan heparin atau heparin sahaja atau heparin dan plasebo. Tiada kajian membandingkan trombolitik berbanding intervensi pembedahan. Kami dapat menggunakan data dari 20 kajian klinikal dengan penglibatan sejumlah 2371 peserta. Trombolitik mungkin merendahkan kebarangkalian kadar kematian dan pengulangan ketulan darah beku berbanding dengan heparin. Sebaliknya, trombolitik menyebabkan lebih banyak kesan-kesan sampingan, termasuk kejadian pendarahan besar dan kecil (kejadian pendarahan) dan strok hemoragik (berdarah), berbanding penggunaan heparin sahaja. Maklumat terhad dari beberapa kajian individu menunjukkan bahawa trombolitik mungkin lebih baik dalam meningkatkan aliran darah melalui paru-paru, fungsi jantung, mengurangkan keperluan untuk rawatan lebih lanjut dan masa yang dihabiskan di hospital. Tidak ada kajian yang melaporkan mengenai sindrom selepas trombotik atau membandingkan kos rawatan yang berbeza.
Kepastian bukti
Kepastian bukti adalah sederhana atau rendah, kerana keterbatasan reka bentuk kajian (risiko berat sebelah), dan ukuran sampel yang kecil. Kami memerlukan kajian yang lebih besar dan dirancang dengan baik untuk meningkatkan keyakinan kami terhadap sebarang manfaat terapi trombolitik sebagai rawatan embolisma paru-paru.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi scochrane@rcsiucd.edu.my