Hormon pertumbuhan manusia sintetik untuk merawat X-linked hypophosphatemia (atau riket rintang vitamin D) dalam kalangan kanak-kanak

Soalan ulasan

Bolehkah hormon pertumbuhan manusia membawa hasil klinikal yang lebih baik (seperti peningkatan pertumbuhan dan kepadatan mineral tulang, serta fungsi buah pinggang dan hormon yang lebih baik) tanpa kesan sampingan pada kanak-kanak dengan X-linked hypophosphatemia?

Latar belakang

X-linked hypophosphatemia adalah gangguan genetik yang menyebabkan tahap fosfat yang tidak normal dalam badan. Ini boleh menyebabkan badan pendek dan riket. Rawatan standard X-linked hypophosphatemia boleh menyembuhkan riket, tetapi tidak selalunya meningkatkan tahap fosfat dalam darah atau mengembalikan tahap pertumbuhan kepada normal. Adalah tidak jelas sama ada menggabungkan terapi hormon pertumbuhan manusia dengan rawatan standard meningkatkan tahap fosfat, kadar pertumbuhan dan kepadatan mineral tulang.

Tarikh pencarian

Bukti adalah terkini sehingga: 12 Januari 2021

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan dua kajian kecil dengan sejumlah 20 kanak-kanak berumur antara 2.5 dan sembilan tahun dalam ulasan ini. Bilangan lelaki dan perempuan adalah sama. Kedua-dua ujian dijalankan secara rawak supaya peserta mempunyai peluang yang sama untuk dimasukkan ke dalam kumpulan hormon pertumbuhan atau kumpulan kawalan (kanak-kanak dalam kumpulan kawalan sama ada tidak mendapat rawatan tambahan atau rawatan plasebo (palsu)). Satu kajian (selari) membandingkan kanak-kanak yang diberi hormon pertumbuhan kepada kanak-kanak yang tidak menjalani sebarang rawatan selama tiga tahun. Kajian kedua adalah kajian silang, di mana satu kumpulan kanak-kanak diberi terapi hormon pertumbuhan manusia dan kumpulan kedua diberi plasebo selama satu tahun dan kemudian kumpulan tersebut diberi rawatan yang berlawanan untuk satu tahun lagi.

Keputusan

Kajian selari mendapati tiada perbezaan dalam skor ketinggian selepas rawatan dengan hormon pertumbuhan berbanding tanpa rawatan tambahan. Tiada kesan sampingan yang serius dilihat dalam mana-mana kajian. Dalam kajian silang, terapi hormon pertumbuhan manusia meningkatkan skor sisihan piawai ketinggian (skor z), dan meningkatkan tahap fosfat darah secara sementara.

Kami tidak menemui bukti konklusif yang menunjukkan bahawa rawatan hormon pertumbuhan manusia berfungsi untuk keadaan ini. Tiada kajian yang mencukupi mengenai rawatan hormon pertumbuhan manusia untuk keadaan ini dan lebih banyak kajian adalah diperlukan. Ini adalah ulasan yang telah dikemas kini daripada ulasan yang diterbitkan dahulu.

Kualiti bukti

Kami kebanyakannya menilai kepastian bukti sebagai rendah atau sangat rendah. Ini adalah kerana kajian adalah sangat kecil dan hanya melibatkan beberapa kanak-kanak. Kami juga bimbang bahawa mungkin terdapat sedikit berat sebelah dalam keputusan kerana reka bentuk kajian silang yang kecil.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information