Pesakit yang menjalani cantuman pintasan arteri koronari mungkin akan mengalami kegagalan jantung pada beberapa jam awal selepas pembedahan kerana otot jantung yang pegun. Ubatan mungkin diperlukan untuk menyokong jantung sekiranya ini berlaku. Semakin banyak alat yang dikenali sebagai pam belon intra aorta digunakan sebagai alat bantuan mekanikal untuk membantu pesakit-pesakit sebegini. Alat ini merupakan belon yang diletakkan dekat kepada jantung di dalam saluran darah utama yang dikenali sebagai aorta. Dengan mengembangkan dan mengempiskan alat tersebut selari dengan degupan jantung, ia bertindak untuk meningkatkan aliran darah ke jantung dan juga mengurangkan jumlah kerja yang dilakukan jantung. Ia merupakan satu alat sementara yang menyokong jantung dalam tempoh segera selepas pembedahan. Bukti terkini menunjukkan bahawa pesakit tertentu mungkin mendapat manfaat dalam satu tempoh dengan sokongan pam belon sebelum pembedahan mereka, untuk mencuba dan mengoptimumkan fungsi jantung sebelum berlaku stres pembedahan. Ulasan ini menunjukkan bahawa pam belon intra aorta mungkin bermanfaat dari segi kelangsungan hidup daripada pembedahan, namun terdapat banyak masalah dengan kesahihan kajian-kajian yang digunakan dalam ulasan ini dan jawapan berketegori kepada soalan ini memerlukan kajian terkawal rawak yang lebih lanjut lagi.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my