Ubat-ubatan untuk merawat gejala kesukaran bernafas akut dalam kalangan dewasa

Kami bertujuan untuk menentukan, daripada beberapa kajian rawak yang terkawal, ubat-ubatan manakah yang meningkatkan hasil kesihatan dalam kalangan dewasa dengan gejala kesukaran bernafas akut (ARDS).

Latar belakang

ARDS adalah keadaan yang mengancam nyawa disebabkan oleh kecederaan kepada paru-paru, sebagai contoh berpunca daripada jangkitan seperti radang paru-paru atau sepsis, atau daripada trauma. Pesakit dengan ARDS dijaga dalam unit rawatan rapi, dan memerlukan sokongan untuk bernafas dengan pengudaraan mekanikal. Ramai pesakit yang telah mengharungi ARDS menghadapi masalah lemah otot, keletihan, kemerosotan kualiti hidup selepas keluar dari hospital, dan mungkin tidak untuk bekerja 12 bulan kemudian. Walaupun terdapat penambahbaikan dalam teknik untuk mengurus ARDS, kadar kematian masih sangat tinggi. Ubat-ubatan boleh membantu untuk membaiki kerosakan kepada kecederaan paru-paru, atau menghadkan tindak balas badan terhadap kecederaan (sebagai contoh, dengan mengurangkan apa-apa cecair berlebihan yang boleh berkumpul di sekitar paru-paru yang telah cedera).

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga 10 Disember 2018. Kami memasukkan 48 kajian, yang menggunakan 20 jenis ubatan yang berbeza, melibatkan 6299 orang yang mempunyai ARDS. Tiga kajian sedang menunggu pengelasan (kerana kami tidak mempunyai butiran yang mencukupi untuk menilai mereka), dan 18 kajian masih lagi berterusan. Kami mendapati terdapat perbezaan dalam kajian yang telah dimasukkan, seperti keterukan ARDS, atau potensi perbezaan dalam pengurusan klinikal dan dos ubatan. Kami tidak memasukkan kajian yang diterbitkan sebelum tahun 2000, untuk memastikan kajian hanya merangkumi pengurusan klinikal terkini tentang pesakit ARDS (sebagai contoh; jumlah tekanan yang digunakan semasa pengudaraan mekanikal). Walau bagaimanapun, kami mendapati banyak kajian tidak melaporkan strategi pengurusan ini.

Untuk perbandingan utama dalam ulasan ini, kami telah memasukkan lima jenis ubat-ubatan: kortikosteroid, surfaktan, N-acetylcysteine, statin, dan beta-agonis. Hal ini telah dibandingkan dengan plasebo atau kepada penjagaan standard.

Keputusan utama

Walaupun kortikosteroid boleh mengurangkan bilangan orang yang mati dalam tempoh tiga bulan pertama, dan beta-agonis mungkin mempunyai sedikit penambahbaikan dalam mengurangkan kematian awal, kami mendapati terdapat kedua-dua peningkatan dan pengurangan dalam kematian dalam analisis kami untuk ubat-ubatan ini. Kami mendapati tiada bukti bahawa surfaktan, N-acetylcysteine, atau statin mampu membuat perbezaan kepada bilangan orang yang meninggal dunia dalam tempoh tiga bulan. Hanya dua kajian (satu yang menilai steroid, dan satu surfaktan) melaporkan kematian lebih lewat dari tempoh tiga bulan, tetapi bukti untuk ini tidak dipastikan kesahihannya.

Kami mendapati bahawa statin atau steroid boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada tempoh penggunaan pengudaraan mekanikal, tetapi kami tidak pasti tentang bukti steroid. Begitu juga, kami tidak pasti sama ada surfaktan membantu mengurangkan penggunaan pengudaraan mekanikal. Kami mendapati bahawa steroid boleh meningkatkan bilangan hari pesakit tidak memerlukan pengudaraan mekanikal (hari tidak menggunakan sebarang pengudaraan mekanikal sehingga hari ke 28), tetapi beta-agonis mungkin tidak mengurangkan kebergantungan terhadap ventilator mengikut bilangan hari (walaupun kami tidak pasti tentang bukti untuk beta-agonis). Kami mendapati bahawa statin mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan langsung kepada bilangan hari tanpa ventilator; ini juga sama seperti kes surfaktan (walaupun, sekali lagi, kami tidak pasti tentang bukti untuk surfaktan).

Beberapa kajian (dan hanya untuk surfaktan dan beta-agonis) melaporkan sama ada ubat-ubatan yang digunakn dalam kajian dihentikan kerana kesan sampingan yang serius, dan kami tidak pasti sama ada salah satu ubat-ubatan yang membawa kepada kesan sampingan yang serius itu. Tiada kajian yang dilaporkan sama ada pesakit boleh kembali bekerja 12 bulan selepas penyakit mereka.

Kepastian bukti

Kebanyakan penemuan disokong oleh kepastian bukti yang rendah atau sangat rendah, walaupun kami sederhana yakin dalam bukti untuk beberapa hasil apabila statin dan beta-agonis digunakan. Bagi beberapa hasil kajian, kami mendapati terlalu sedikit kajian yang mempunyai sedikit peserta, dan kadang kala terdapat perbezaan yang tidak dapat dijelaskan di antara kajian-kajian dalam penemuan mereka. Faktor ini mengurangkan kepastian kami (atau keyakinan) dalam penemuan kami. Juga, ianya adalah tidak mungkin untuk menyembunyikan beberapa penyelidik kerana ubat-ubatan kajian dibandingkan dengan terapi standard (tiada ubatan), yang mungkin menyebabkan kepada faktor berat sebelah terhadap penemuan kami.

Kesimpulan

Kami mendapati bukti tidak mencukupi untuk menentukan secara yakin sama ada apa-apa jenis ubat adalah berkesan untuk mengurangkan kematian dalam kalangan pesakit ARDS, atau mengurangkan tempoh masa yang mereka perlukan untuk pengudaraan mekanikal. Tiada kajian yang melaporkan kebolehan pesakit untuk kembali semula bekerja selepas 12 bulan. Kami menilai kebanyakan hasil kajian adalah rendah atau sangat rendah kepastiannya, yang mengurangkan keyakinan kami terhadap penemuan kajian dalam ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Solihin Zahari (Penang Medical College). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi soliihin@ms.pmc.edu.my

Tools
Information